KERJASAMA PAS DAN ‘PARTI KAFIR’ KALAHKAN PH DI CAMERON, KATA DR M

Kemenangan pembangkang mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highlands baru-baru ini disebabkan kerjasama di antara PAS dan “parti kafir” yang dikenali sebagai Umno, kata Dr Mahathir Mohamad.

Tetap sinis seperti selalu, perdana menteri berkata gelaran kafir itu bukanlah datang daripada beliau.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, ia diberikan sendiri oleh PAS suatu ketika dulu.

“Sebab mereka (pembangkang) menang, kita percaya kerana adanya gabungan di antyara PAS dengan parti kafir Umno.

“(Gelaran kafir) itu pas yang kata, bukan saya. (Dulu mereka kata) Umno ni kafir, tapi sekarang dah bekerjasama dan dapatlah mereka mencapai kemenangan,” katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH yang turut dihadiri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin Yassin, Saifuddin Nasution Ismail dan Lim Guan Eng.

Kenyataan Mahathir itu dipercayai merujuk kepada kecaman yang pernah diutarakan Abdul Hadi Awang pada era 1980-an dulu.

Kira-kira seribu undi saja

Kata Mahathir kerjasama di antara PAS dan Umno itu adalah bertujuan untuk mendapat kemenangan di dunia namun kedudukan di akhirat belum dipastikan.

“Kita perlu ingat, parti Islam dan parti kafir ini akan bekerjasama untuk kemenangan di dunia… akhirat belum tahulah…,” katanya.

Bagaimanapun kata pengerusi Bersatu itu, PH yakin mereka akan memenangi PRK Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mei ini.

Antara sebab keyakinan itu, Mahathir berkata, ketika ini BN boleh dianggap hanya dianggotai Umno saja, dan kekuatan parti itu sudah tinggal separuh.

Pada masa sama, katanya, PH tahu kerjasama kedua-dua parti boleh menggugat peluang mereka mempertahankan kerusi DUN Semenyih.

“Kemenangan Bersatu (yang mewakili PH pada PRU ke-14 lalu) sebenarnya bukan 8,000 undi, tetapi 1,000 saja.

“Justeru PH sedar ia tipis namun kami sudah mengatu cara-cara mengatasinya,” katanya merujuk kepada keputusan di kerusi itu pada 9 Mei tahun lalu.

Pada PRU lalu calon PH, Bakhtiar Mohd Nor memenangi kerusi DUN Semenyih dengan mendapat 23,428 undi berbanding pencabar terdekat dari BN, Johan Abdul Aziz – yang juga penyandang – yang menerima 14,464 undi.

Calon PAS pula memperoleh 6,966 undi.

Dalam keadaan itu Bakhtiar memenangi kerusi DUN Semenyih dengan kelebihan 8,964 undi.

Bagaimanapun dengan andaian semua pengundi BN dan PAS memberi sokongan sama kepada calon pembangkang pada PRK akan datang, ia menjadi 21,430 undi.

Keadaan itu meletakkan PH hanya memiliki kelebihan 1,998 undi.

– M’kini

.