PENGERUSI THE EDGE BERI JUSTO RM8.2 JUTA

PENGERUSI The Edge Media Group, Tong Kooi Ong menghadiahkan RM8.2 juta (AS$2 juta) kepada pemberi maklumat, Xavier Andre Justo atas “sumbangannya kepada Malaysia”.

Menurut laporan The Edge, Tong menyampaikan sumbangan tersebut kepada Justo, isteri dan anak lelakinya, di pejabat The Edge Media Group di Petaling Jaya hari ini.

“Hadiah kepada Justo ini adalah untuk menghargai sumbangan beliau kepada Malaysia mendedahkan kleptokrasi kerajaan lama.

“Tanpa beliau, salah laku melibatkan 1MDB, seperti yang The Edge dedahkan, tidak akan diketahui,” Tong dipetik sebagai berkata.

Justo adalah pekerja PetroSaudi International yang memberi maklumat kepada The Edge dan Sarawak Report mengenai penyelewengan berbilion ringgit dari 1MDB melalui usahasama antara syarikat pelaburan negara itu dengan bekas majikannya pada 2009 dan 2011.

Pada Jun 2015, Justo ditahan di Bangkok, Thailand atas tuduhan memeras ugut dan dipenjarakan selama 18 bulan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.