MENTERI BERKELAHI JEJAS KREDIBILITI PAKATAN, KATA PENGANALISIS

MENTERI-menteri Pakatan Harapan (PH) perlu mendengar nasihat Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin supaya berhenti berkelahi sesama sendiri kerana ia akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, kata penganalisis politik.

Penganalisis politik Prof Madya DrJeniri Amir berkata, PH yang kini hampir sembilan bulan membentuk kerajaan Persekutuan perlu menyelesaikan masalah antara menteri Kabinet secara tertutup.

Kenyataan saling bercanggah yang dibuat secara terbuka katanya, akan memberi persepsi bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam kerajaan ketika ini.

“Mereka (PH) tidak perlu lagi bangkitkan kelemahan Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya tunjukkan yang mereka mampu memimpin negara, lebih baik daripada BN.

“Tetapi, melihat kepada situasi sekarang, rakyat bukan sahaja sudah muak (dengan kerajaan), tetapi juga semakin tidak yakin dengan PH,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak itu.

Konflik terbuka ini juga akan menjejaskan kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tambah beliau.

Daim semalam menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Meskipun difahami bahawa kesemua menteri Kabinet adalah baharu, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya mereka disarankan supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu-padu, kata Daim.

Daim Zainuddin semalam menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2019.
Daim Zainuddin semalam menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2019.

Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata bekas menteri kewangan itu adalah orang yang paling tepat untuk memberi nasihat sedemikian memandangkan peranannya dalam Majlis Penasihat Kerajaan adalah memastikan kerajaan PH mula bekerja dan berada di landasan yang betul dalam mentadbir negara.

“Saya rasa Daim sendiri dah muak dengan situasi ini dan perlu masuk campur supaya PH berada di landasan yang betul dan tidak diperkecilkan oleh rakyat,” katanya.

Menurut Awang Azman lagi, nasihat Daim itu perlu diambil serius oleh menteri-menteri PH kerana bekas menteri itu amat jarang memberi komen terhadap perkara yang menjejaskan kerajaan.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai status Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Azmin pada mulanya mengumumkan yang Putrajaya memutuskan untuk membatalkan projek tersebut. Ini disanggah oleh Lim yang menyatakan rasa terkejut dengan pengumuman Azmin itu.

Sebelum ini juga wujud pertikaian antara Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy apabila ahli Parlimen Muar itu mengaku “menyeludup” ahli Bersatu ke dalam Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum bagi memecat Waytha.

– https://www.themalaysianinsight.com

.