RUNDINGAN BEIJING-PUTRAJAYA BERHUBUNG ECRL PERLU SECARA SULIT, KATA GUAN ENG

PERBINCANGAN mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini dibuat antara kerajaan China dan Malaysia dan perlu dilakukan di luar daripada “tumpuan umum”, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini dan kabinet memutuskan yang rundingan itu akan diadakan secara tertutup antara Beijing dan Putrajaya.

“Dalam mesyuarat kabinet hari ini perkara ini dibincangkan dan kabinet membuat keputusan untuk menerima pakai kenyataan yang dibuat perdana menteri semalam bahawa perkara ini masih dalam rundingan.

“Dari sudut sensitiviti kontrak, kita perlu membenarkan perbincangan yang kini antara kerajaan dengan kerajaan diadakan jauh daripada tumpuan umum,’ katanya kepada pemberita di kementeriannya hari ini.

Lim berkata, kabinet turut membuat keputusan hanya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sahaja boleh membuat sebarang pengumuman berhubung ECRL.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata mesyuarat kabinet hari ini membincangkan mengenai perkara itu memutuskan agar rundingan dibuat secara sulit.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Januari, 2019
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata mesyuarat kabinet hari ini membincangkan mengenai perkara itu memutuskan agar rundingan dibuat secara sulit.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Januari, 2019

Tambah beliau, tempoh masa sudah ditetapkan bagi rundingan itu namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Sudah tentu ada tempoh masa tetapi kami biarkan perbincangan antara kedua-dua kerajaan diadakan secara tertutup,” kata Lim.

Semalam Dr Mahathir berkata Putrajaya mahu memotong perbelanjaan yang tidak mampu dibuat, merujuk kepada projek ECRL bernilai RM100 bilion itu.

Beliau berkata kerajaan kini sedang menanggung beban hutang dan perlu memotong beberapa perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

“Kami tidak mahu menghentikan atau mengingkari kontrak tetapi kami benar-benar berdepan kekangan dari segi kewangan,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan di Putrajaya semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada ECRL dibatalkan atau sebaliknya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.