PH JANJIKAN CALON CERGAS, CERDAS DAN MESRA DI SEMENYIH

Barangkali belajar banyak daripada pengalaman di Cameron Highlands, hari ini perdana menteri menyenaraikan sebahagian daripada kriteria yang mesti ada pada calon PH untuk PRK Semenyih.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu di Petaling Jaya, Dr Mahathir Mohamad berkata keutamaan diberi kepada individu yang memenuhi beberapa kriteria.

“Dia mesti fit (cergas), sangat bijak, disenangi oleh rakyat dan pihak media.

“Kami akan cari calon terbaik,” katanya.

Terdahulu Mahathir mengadakan pertemuan dengan Majlis Tertinggi Bersatu.

Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan tentang calon yang akan dipilih PH bagi mewakili kerajaan untuk bertanding di PRK Semenyih pada 2 Mac nanti.

Dalam PRK Cameron Highlands pada 26 Jan lalu, calon PH, M Manogaran, gagal menafikan sokongan pengundi kepada BN walaupun sudah menjadi kerajaan peringkat pusat.

Manogaran dikalahkan oleh Ramli Mohd Nor yang turut mendapat sokongan PAS.

Dalam PRK Semenyih, PH akan diwakili oleh calon daripada Bersatu.

Tambah Mahathir, beliau yakin sokongan pengundi terutamanya orang Melayu masih kuat terhadap Bersatu.

“Sokongan orang Melayu masih kuat tapi undi mungkin berpecah kerana mungkin ada lebih dari dua parti yang bertanding,” katanya lagi.

PRK Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia tiga minggu lalu.

Allahyarham merampas kerusi itu daripada BN dalam pertembungan empat penjuru pada PRU ke-14, 9 Mei lalu.

Selain PH dan BN, S Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga dijangka sekali lagi bertanding untuk kerusi tersebut.

Hari penamaan calon bagi PRK Semenyih dijadualkan pada 16 Feb ini.

– M’kini

.