WALAU TEWAS, PAKATAN GANDAKAN UNDI ORANG ASLI

PAKATAN Harapan mampu meningkatkan undi Orang Asli Semai walaupun Barisan Nasional meletakkan calonnya dari dalam kalangan mereka.

Data pengundian daripada sembilan pusat mengundi majoriti Semai menunjukkan PH menang 1,041 undi daripada 4,502 keseluruhan undi Orang Asli yang dibuang pada pilihan raya kecil Cameron Highlands semalam. Terdapat 29 pusat menundi di kerusi Parlimen itu di Pahang.

Pada PRU14, PH hanya memenangi 479 undi daripada pusat mengundi majoriti Semai.

BN mengumpul hanya 3,402 undi kali ini, berbanding 3,921 pada PRU14.

Antara peningkatan yang tertinggi adalah di Pos Betau (100 kepada 302 undi), Pos Lenjang (47 kepada 126 undi) dan Pos Senderut (268 kepada 385).

Pusat mengundi lain yang menunjukkan peningkatan adalah Pos Titom (8 kepada 65) dan Pos Lanai (3 kepada 103).

Apa yang menarik adalah, kelima-lima pusat mengundi ini terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, yang merupakan kubu kuat BN dan kerusi DUN yang disandang Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Calon Pakatan Harapan, M. Manogaran menerima kekalahannya namun menyatakan gabungan itu sudah membuka laluan ke kawasan Orang Asli di Jelai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Januari, 2019
Calon Pakatan Harapan, M. Manogaran menerima kekalahannya namun menyatakan gabungan itu sudah membuka laluan ke kawasan Orang Asli di Jelai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Januari, 2019

Calon PH, M. Manogaran dari DAP malam tadi ketika menerima kekalahan itu berkata walaupun kalah pada pilihan raya itu, pakatan pemerintah sudah membuka laluan ke kawasan Orang Asli di Jelai.

Beberapa Orang Asli yang memberi keterangan di mahkamah pilihan raya terhadap bekas ahli Parlimen Cameron Highlands C. Sivarraajh berhubung amalan rasuah yang dilakukan menjelang PRU14, juga daripada Jelai.

PH berharap untuk meraih undi Orang Asli dengan keputusan mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangan Sivarraajh pada PRU14 dengan berkempen pada platform bersih dan bebas rasuah.

PH bagaimanapun, kurang memuaskan di pusat mengundi Semai di Tanah Rata, satu lagi kerusi DUN di Cameron Highlands yang dipegang oleh DAP.

Di Pos Terisu, Pos Telanuk, Pos Lemoi dan Pos Mensun, Manogaran hanya berjaya memenangi 60 undi berbanding 1,111 pengundi yang bakinya menyokong calon BN, Ramli Mohd Nor.

Salah satu sebabnya ialah Ramli, yang kini ahli Parlimen Orang Asli Cameron Highlands, merupakan anak kelahiran dari Pos Mensun.

Ramli memenangi pilihan raya selepas memenangi 12,038 undi berbanding Manogaran (8,800) dan calon Bebas Sallehuddin Ab Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).

– https://www.themalaysianinsight.com/

.