‘STRUKTUR SEMULA’ MAKSUDNYA PENGERUSI BERSATU PERLIS DIGANTUNG

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya pada 18 Januari lalu mengumumkan kemelut dalaman parti itu di Perlis telah selesai dan kepimpinan distruktur semula.

Bagaimanapun, apa sebenarnya maksud “penstrukturan semula” itu?

Menjawab soalan Malaysiakini, seorang pemimpin Bersatu Perlis yang enggan namanya disiarkan berkata penstrukturan semula kepimpinan parti di negeri itu hanya melibatkan tugas pengerusinya Ameir Hassan.

“Cuma tugas pengerusi sahaja (kena) gantung (tugas).

“Yang lain gerak macam biasa. Penambahan ahli masih bergerak.

“Bersatu Perlis tak lumpuh,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kemelut Bersatu Perlis timbul selepas Ameir memecat Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan daripada jawatannya sebagai setiausaha Bersatu Perlis.

Wan Saiful kemudian menyerang balas dengan mendedahkan laporan polisnya yang mendakwa berlaku salah guna kuasa di pejabat Bersatu Perlis.

Susulan kemelut itu, Bersatu pusat membuat keputusan pantas mengambil alih pengurusan di Perlis sehingga masalah itu diselesaikan.

Sementara itu, beliau berkata, kepimpinan pusat Bersatu akan bermesyuarat berkaitan perkara itu 27 Januari ini.

Secara peribadi, beliau berkata Ameir tidak seharusnya sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang dimiliki untuk memecat seseorang.

Katanya lagi, sebelum Ameir mengambil keputusan terhadap Wan Saiful, beliau telah menasihatkan Ameir berfikir dahulu dan menangguhkan pendiriannya.

“Hari yang dia buat keputusan nak pecat, draf dah siap.

“Saya kata tangguhlah tiga, empat hari mana tahu ada petunjuk baru tapi sayangnya hari berikutnya dia terus (umum) pakai media, bila dah jadi macam itu ramai yang nak komen,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Ameir berhubung perkara itu.

– M’kini

.