MALAYSIA AKAN KEKALKAN HUBUNGAN ‘MESRA’ DENGAN SINGAPURA, KATA ANWAR

ANWAR Ibrahim berkata rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan ruang udara dan maritim dengan Singapura akan diteruskan dan Malaysia akan mengekalkan hubungan “mesra” dengan negara republik itu.

“Kita mahu mengekalkan hubungan yang mesra dengan Singapura tetapi terdapat isu-isu yang mana kepentingan kami untuk melindungi kepentingan Malaysia,” katanya kepada pemberita di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur hari ini.

Presiden PKR itu yang dijangka akan menjadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun berkata, Menteri Luar Saifuddin Abdullah sudah ditugaskan untuk menyelesaikan pertikaian itu menerusi rundingan.

“Ini kamu kena ingat. Terdapat peristiwa pada masa lalu yang kita rasa kepentingan Malaysia tidak dilindungi secukupnya. Dan saya fikir pendirian kabinet, yang saya sokong sepenuhnya, adalah untuk memastikan kedudukan, kepentingan kita, dilindungi.

“Tetapi kita tidak terlibat dalam pertukaran dengan mereka, saya fikir menteri luar negeri telah diamanahkan untuk memastikan kita terus berunding.”

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dijangka akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Khaw Boon Wan pada minggu akan datang bagi membincangkan isu berkaitan ruang udara, termasuk isu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan pendekatan prosedur ILS di Lapangan Terbang Seletar Singapura.

Tambahan, pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura Chee Wee Kiong turut dijadualkan pada 28 Januari.

“Kerajaan Malaysia komited untuk menyelesaikan isu dua hala dengan kerajaan Singapura dalam suasana aman dan tenang,” kata Kementerian Luar.

Tambah Wisma Putra, Saifuddin bertemu rakan sejawatnya, Vivian Balakrishnan pada retreat Asean di Chiang Mai, Thailand pada Khamis dan semalam.

Malaysia berkata prosedur pendaratan di Lapangan Terbang Seletar akan menjejaskan pembinaan bangunan tinggi di Pasir Gudang, Johor yang terletak di utara lapangan terbang berkenaan. Singapura telah membantah perkara ini.

Satu lagi perkara yang dipertikaikan ialah peluasan bagi sempadan pelabuhan Johor Bahru, yang membawa kepada apa yang dikritik Singapura sebagai pencerobohan kapal Malaysia di perairan Singapura.

– https://www.themalaysianinsight.com

.