PM PERTAHAN TINDAKAN MB JOHOR, TERKEJUT DENGAN REAKSI SINGAPURA

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Menteri Besar Johor Osman Sapian yang pada 9 Januari lalu melawat kapal Jabatan Laut yang berada di kawasan perairan jadi rebutan Malaysia dan Singapura, mengatakan yang kapal tersebut berada di perairan antarabangsa.

Perdana menteri turut meluahkan rasa terkejutnya dengan reaksi balas republik itu terhadap lawatan Osman.

“Maksud saya reaksi kepada dia (Osman) pergi ke sana agak teruk, seolah-olah hendak kata kami bersedia untuk berperang. Maksud saya dia (Osman) pergi ke kapal yang dalam perairan neutral (antarabangsa),” katanya dalam jawapan membalas soalan hadirin di Oxford Union semalam.

“Ia bukan perairan Singapura pun. Ia perairan antarabangsa.

“Menteri besar boleh pergi ke perairan antarabangsa. Dia ingat itu perairan Johor, sebab itu dia pergi ke sana.”

Susulan lawatan Osman itu, Singapura menghantar notis diplomatik menyifatkannya sebagai “tindakan provokatif”.

Osman menaiki kapal Jabatan Laut, MV Pedoman yang didakwa Singapura berada dalam kawasan perairannya, Tuas.

Jawapan perdana menteri di Oxford itu jauh berbeza dengan catatan Osman di Facebook.

Dalam catatan itu, beliau berterima kasih kepada “jasa dan pengorbanan” pegawai yang “komited mengawal dan mempertahankan perairan kita.”

MV Pedoman adalah salah sebuah daripada lima kapal Malaysia yang berada dalam kawasan perairan itu, yang didakwa Singapura miliknya. Ia diletakkan sehari selepas kedua-dua negara bersetuju menubuhkan pasukan rundingan perebutan kawasan perairan itu.

Perdana menteri, bagaimanapun, tidak menjawab soalan sama ada beliau akan mengambil tindakan ke atas Osman yang tidak mematuhi arahan Kementerian Luar supaya tidak membuat lawatan tersebut atau Putrajaya akan bertindak memastikan kejadian serupa itu tidak berlaku lagi.

Dr Mahathir juga mempertahankan hubungan kedua-dua negara walaupun ada soalan ditanya hadirin mencadangkan keputusan menangguhkan projek landasan kereta api dan menyemak semula perjanjian jual beli air seolah-olah seperti “mahu kembali ke zaman konfrotasi diplomatik dan retorik”.

Dalam isu perjanjian air, Dr Mahathir menimbulkan persoalan sama ada perjanjian membolehkan Singapura membeli air pada harga 3 sen untuk 1,000 gelen dan menjual balik air terawat dengan harga S$60 untuk 1,000 gelen adil untuk Malaysia.

Beliau menambah yang Singapura “buat banyak untung” hasil perjanjian itu.

“Kami mahu berunding harga yang lebih munasabah,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.