HATI-HATI KEMPEN TERDESAK PAKATAN SAAT AKHIR, PESAN NAJIB

MANTAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak mengingat jentera parti supaya berhati-hati dengan tindakan terdesak kempen Pakatan Harapan di saat-saat akhir.

Najib berkata, walaupun momentum sokongan pengundi positif terhadap BN, jentera tidak boleh leka kerana kempen masih berbaki seminggu.

“Suasana di Cameron saya boleh simpulkan sebagai positif tetapi BN tidak boleh memandang ringan kepada cabaran.

“Kita mesti cuba melakukan yang terbaik dan kita kena juga menjangkakan apa yang mereka (PH) akan lakukan terutama sekali pada saat-saat akhir nanti,” katanya ketika berkempen di Kg. Keledek Sg. Koyan hari ini.

Dalam kempen beliau terutamanya di kawasan-kawasan Orang Asli, Najib berulang kali mengingat mereka supaya menjaga kad pengenalan masing-masing.

“Malam sebelum hari mengundi jaga kad pengenalan, jangan bagi orang curi. Tidur dengan kad pengenalan, tidak tidur dengan suami pun tidak apa,” katanya semalam di satu acara.

Pada masa sama, anak buahnya menggiatkan kempen mendakwa wujud usaha daripada Pakatan Harapan untuk menghalang Orang Asli daripada keluar mengundi pada 26 Januari depan.

Ahli majlis kerja tertinggi Umno Lokman Adam semalam mendakwa, terdapat usaha daripada individu-individu tertentu untuk membeli kad pengenalan Orang Asli.

“Tanpa IC, orang-orang ini tidak akan dapat mengundi. Tetapi kami telah mengesan pelan ini dan kami akan mempunyai agen siap sedia untuk menangkap mereka jika perkara itu berlaku, ” kata Lokman kepada pemberita semalam.

– https://www.themalaysianinsight.com

.