PURA-PURA TIDAK TAHU KEWUJUDAN UIM, GUAN ENG TANYA NAJIB

PETALING JAYA – Kementerian Kewangan membidas Datuk Seri Najib Razak kerana tidak tahu membezakan Universiti Islam Malaysia (UIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas bekas perdana menteri menghentam kerajaan kerana membuat pemberian kepada 3 institusi swasta.

Najib sebelum ini mengkritik Menteri Lim Guan Eng kerana membuat pemberian RM2 juta kepada Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Selatan dan Kolej Universiti Han Chiang.

Bekas menteri kewangan berkata membandingkan pemberian kepada 3 kolej itu dengan pemberian kepada UIAM adalah tidak tidak masuk akal kerana ia universiti awam.

Lim dalam kenyataan hari ini menjelaskan dia tidak pernah merujuk kepada UIAM tetapi kepada UIM, sebuah universiti swasta, dalam kenyataannya mengenai pemberian RM15 juta daripada kerajaan.

Beliau ketika itu meminta isu pemberian RM2 juta kepada 3 kolej universiti itu tidak dipolitikkan kerana kerajaan juga memberikan RM15 juta kepada UIM.

“UIM ditubuhkan di Cyberjaya pada 2012 apabila Kolej Islam Malaya, sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokoh, dinaiktaraf dengan perkenan Majlis Raja-raja.

“Mustahil seorang bekas perdana menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?” katanya.

LiM berkata Najib patut memohon maaf atas kesilapan itu tetapi dia tidak yakin pemimpin Umno itu akan berbuat demikian.

Ini kerana, katanya, Najib masih berdegil dan berkeras tidak bersalah dan enggan memohon maaf, selepas bank antarabangsa Goldman Sachs memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bekas pengurusnya dalam skandal 1MDB.

– FMT

.