SENTIMEN AGAMA MAJUKAN ORANG MELAYU, KATA PAS

KUALA LUMPUR – PAS hari ini menegaskan sentimen agama memajukan orang Melayu di negara ini, baik sebelum ini atau pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hanya dengan sentimen agama dapat memajukan masyarakat itu kerana Islam menjadikan manusia bertamadun.

“Kepada kita, agama memajukan orang Melayu. Islam pernah jadikan manusia bertamadun,” katanya kepada pemberita di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang mengatakan orang Melayu akan terus mundur jika isu agama dan bangsa asyik menjadi agenda perjuangan mereka.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan, di Cameron Highlands, malam tadi, dalam kempen bersempena pilihan raya kecik kerusi Parlimen itu 26 Jan ini.

“Jika BN menang… itu isyarat tidak baik kerana isu dimainkan mereka masih isu agama. Mereka akan kata, habislah orang Islam jika DAP menang.

“Akan tetapi, siapa pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH)? DAP ke? Siapa menteri yang jaga agama ? DAP ke ? Tiba-tiba, hari ini mereka (Umno) nak jadi ‘champion’ dalam isu ini pula,” kata Mujahid yang juga merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, faktor utama yang membawa kepada kemunduran masyarakat ialah apabila tiadanya unsur Islam dalam pentadbiran negara.

Beliau mengambil contoh kerajaan Turki Uthmaniah yang diambil alih oleh Mustafa Kamal Atarturk lalu mengubah tamadun Islam itu dalam sekelip mata, merujuk kepada presiden republik Turki yang pertama antara tahun 1923 hingga 1938 dan dkenali dengan ideologi sekular-nasionalis, Kemalisme.

“Meninggalkan Islam akan menjadikan masyarakat tidak bertamadun. Punca mundur bila tak adanya Islam. Contohnya Turki Uthmaniah apabila diambil alih oleh Atarturk,” katanya.

– FMT

.