NAJIB PERDANA MENTERI KE-8, SESUATU YANG MUNGKIN ATAU MUSTAHIL?

Lim Kit Siang dalam suatu kenyataan kempennya semalam membayangkan kemenangan calon BN di Cameron Highlands pada 26 Januari nantii akan memungkinkan Najib Razak kembali sebagai Perdana Menteri semula selepas PRU15 akan datang.

Tambahnya, dengan kembalinya Najib sebagai Perdana Menteri, bermakna akan memberinya kekebalan untuk terlepas daripada semua skandal 1MDB telah didedahkan selama ini.

Veteran DAP itu turut mengaitkan kemungkinan tersebut dengan keputusan Najib melanjutkan masa kempennya di Cameron Hihglands daripada dua hari kepada empat hari.

Sebelum itu, dalam suatu paparan video di media sosial, Najib sendiri dilihat tersenyum lebar apabila namanya dibayangkan akan kembali sebagai Perdana Menteri ke-8.

Secara tidak langsung bermaksud Najib sendiri teringin mahu kembali semula menduduki Seri Perdana bersama keluarganya.

Persoalannya, adakah mungkin Najib mampu kembali sebagai Perdana Menteri ke-8 atau ia sesuatu yang mustahil?

Dalam hal ini, Lim Kit Siang tidak seharusnya terlalu obses dengan cuba mengaitkan keputusan pilihanraya kecil Port Dickson dengan kemungkinan Najib kembali sebagai Perdana Menteri.

Lagi pun, kerusi Cameron Highlands memang sudah milik BN sebelum ini dan menang atau sebaliknya, ia tidak memberi sebarang kelebihan kepada Najib.

Blog ini sudah menulis pada minggu lalu bahawa secara realistiknya adalah sukar untuk Najib muncul sebagai Perdana Menteri ke-8 berikutan penghalang utamanya ialah pemimpin UMNO sendri.

Oleh kerana Najib bukan lagi Presiden UMNO dan katalah jika BN mampu menewaskan Pakatan Harapan dalam PRU15 akan datang, sudah tentu yang akan menjadi Perdana Menteri ialah Presiden UMNO ketika itu.

Jika Mohamad Hassan jadi Presiden UMNO, beliaulah yang akan jadi Perdana Menteri, begitu kalau Hishammudidn Hussein atau Khairy Jamaluddin yang jadi Presiden UMNO, merekalah yang bakal menduduki kerusi paling berkuasa itu.

Tentulah agak mustahil kiranya sesiapa yang menjadi Presiden UMNO, tetapi mereka masih sedia bermurah hati memberi laluan kepada Najib menduduki kerusi Perdana Menteri itu buat kali yang kedua.

Mungkin ada sebahagian ahli UMNO atau rakyat biasa yang masih menyokong dan bersimpati kepada Najib, tetapi yang menentukan siapa harus jadi Perdana Menteri ialah para pemimpin UMNO, bukannya ahli bawahan yang banyak menghabiskan masa di media sosial.

Di mana logiknya Najib yang sudah diletakkan sebagai beban atau punca kekalahan BN dalam PRU14 lalu mahu diberikan semula jawatan Perdana Menteri oleh pemimpin-pemimpin yang menguasai UMNO.

Habis, bagaimana caranya Najib boleh kembali jadi Perdana Menteri ke-8?

Oleh kerana melalui UMNO ternampak mustahil untuk mencapai tujuan itu, Najib dalam hal ini perlu menubuhkan sebuah parti baru untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Di waktu yang sama, memandangkan blok politik negara ini sudah terbahagi kepada dua – parti pemerintah iaitu Pakatan Harapan dan pembangkang yang secara tidak rasminya merangkumi BN dan Pas yang telah berkahwin secara senyap-senyap, parti baru Najib juga tidak boleh terasing daripada dua blok yang ada itu.

Pilihannya ialah sama menyertai Pakatan Harapan atau BN.

Untuk menyertai Pakatan Harapan, lebih-lebih lagi sebelum PRU15 akan datang, rasanya boleh dikata suatu kemustahilan yang sudah nyata.

Pakatan Harapan bukan saja akan menjauhi Najib, malah ketika ini sedang berusaha untuk memenjarakannya berkaitan skandal 1MDB yang telah menyebabkan negara menanggung hutang yang tinggi.

Maka, adalah mustahil Najib yang menyebabkan BN hilang kuasa mahu dibawa pula ke dalam Pakatan Harapan, kecuali untuk menambahkan kesengsaraan yang ada.

Najib sendiri juga tentunya tidak mahu bergabung dengan Pakatan Harapan yang ada sekarang.

Jalan yang mungkin ada cahaya bagi Najib ialah memilih menyertai BN dan berusaha keras untuk menumbangkan Pakatan Harapan. Tetapi oleh kerana UMNO adalah “abang besar” dalam BN, laluan Najib untuk muncul sebagai calon Perdana Menteri hanya akan tiba jika partinya mampu memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding  UMNO itu sendiri.

Jika tidak, calon Perdana Menteri pilihan BN tetap daripada siapa yang menjadi Presiden UMNO.

Jika parti Najib memilih bertanding bersendirian pula dalam pilihanraya akan datang yang menyaksikan berlakunya pertandingan tiga penjuru, kemungkinan untuk partinya menang satu kerusi pun akan jadi mustahil.

Kalau tidak mampu menang satu kerusi pun, sudah tentu kuasa untuk tawar menawar sama ada kepada Pakatan Harapan atau BN, terkubur dengan sendirinya.

Jadi, bagaimana Najib mampu muncul sebagai Perdana Menteri ke-8?

Barangkali hanya keajaiban yang benar-benar ajaib saja mampu merealisasikan angan-angan itu menjadi kenyataan.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.