MINTA MAAFLAH, MB JOHOR

UMUM tahu, pertikaian dan perbincangan hangat pelbagai isu antara Malaysia-Singapura sering berlaku sejak sekian lama termasuk berkaitan air, tambak, proses menuntut jajahan dan banyak lagi.

Namun, baru-baru ini seperti dapat disaksikan di dada akhbar dan televisyen, pertikaian ruang udara, disusuli pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura dan juga sempadan maritim/had pelabuhan kedua-dua negara menjadi perbualan hangat.

Seperti biasa, Singapura dengan kenyataannya dan Malaysia dengan pendiriannya, sehingga membawa kepada pertemuan menteri luar kedua-dua negara, 8 Januari lalu yang akhirnya memutuskan Malaysia setuju menggantung Kawasan Larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang, manakala Singapura menggantung pelaksanaan ILS dalam tempoh sebulan, serta-merta.

Namun, yang mendukacitakan adalah tindakan Menteri Besar Johor, Osman Sapian, yang tanpa angin dan ribut, mahu melawat petugas Jabatan Laut Malaysia dalam perairan pertikaian antara kedua-dua negara, sehari selepas pertemuan menteri luar berlangsung.

Pergerakan Pemuda Umno Johor berpendapat, tindakan Osman itu dilakukan pada waktu, tempat dan masa yang salah.

Ia tidak sepatutnya dilakukan ketika tempoh “bertenang” sebulan yang diputuskan kedua-dua negara.

Apa yang paling menggelikan hati, hari iniKementerian Luar dalam satu kenyataan balas terhadap komen Osman memaklumkan tidak membenarkan lawatan dibuat rombongan menteri besar itu.

Mengapa sebelum ini Osman dengan lagaknya memberitahu media sudah menelefon menteri luar selama 40 minit, juga timbalan menteri luar kononnya untuk mendapat “restu” membuat lawatan itu.

Rupa-rupanya hari ini, tembelang Osman pecah tertepek ke mukanya dengan kenyataan Kementerian Luar, yang membawa maksud rombongan beliau tidak pun mendapat kebenaran daripada pihak kementerian.

Pergerakan Pemuda Umno Johor  ingin menegaskan, kenyataan ini tiada kena mengena tentang isu tidak menyokong negara sendiri atau sebagai Bangsa Johor tidak memberi sokongan pada pemimpin yang kononnya mahu melihat sempadan kedaulatan negara, tidak sama sekali.

Soal kedaulatan dan hak ruang udara serta maritim Malaysia, Pergerakan Pemuda Umno Johor tegas dengan pendirian tetap mahu kerajaan mempertahankannya daripada jatuh ke tangan orang lain. Ambillah iktibar Pulau Batu Putih.

Namun, perlu diingat pertikaian ini membabitkan kerajaan dengan kerajaan dan jalan penyelesaian paling “mujarab” adalah melalui meja rundingan, duduk bersemuka dan adakan pertemuan bagi menyelesaikannya.

Pergerakan Pemuda Umno Johor dengan ini, meminta Osman sebagai pemimpin nombor 1 dalam Johor untuk berkata benar, mengakui kesilapan dan memohonlah maaf kepada semua Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya kerana beliaulah punca hubungan dan rundingan Malaysia-Singapura menjadi keruh kembali.

– https://www.themalaysianinsight.com

.