ZAMAN EMAS FELDA MASA BN MEMERINTAH – NAJIB

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan era pentadbirannya sebagai “zaman keemasan” peneroka Felda.

Ketika berkempen untuk BN bagi pilihan raya kecil Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan hari ini, beliau mengenang zaman kegemilangannya.

“Kenapa pula zaman BN memerintah tuan-tuan boleh dapat RM2000-RM3000 sebulan?

“Kenapa zaman BN memerintah boleh mendapat pinjaman tanpa faedah membesarkan rumah?

Kenapa zaman BN tuan-tuan boleh dapat bonus yang tinggi?

“Boleh dapat duit raya? Boleh dapat BRIM? Boleh mendapat bantuan persekolahan?” Soal beliau kepada 300 hadirin, kebanyakannya memakai baju BN.

“Sebab zaman BN memerintah itu zaman keemasan para peneroka Felda,” jelas beliau.

Terbayang muka peneroka

Najib selanjutnya menampilkan dirinya sebagai pembela peneroka Felda, berkata beliau selalu memikirkan kepentingan terbaik peneroka.

“Zaman saya (jadi perdana menteri), saya berbincang dengan presiden China, perdana menteri China, dia setuju tambah beli minyak sawit dari Malaysia.

“Kerana apa, bila saya bincang itu saya bayangkan muka tuan-tuan tau?

“Muka tuan-tuan ini saya bayangkan, bila saya cakap dengan presiden Cina, kerana saya nak tengok orang Felda senang.

“Saya nak tengok orang Felda dapat pendapatan yang baik, saya nak tengok tempat Felda ceria dengan segala-segala aktiviti ekonomi,” katanya.

Selepas kekalahan BN selaku parti pemerintah pada PRU14 lalu, Najib berkata beberapa peneroka mengadu kepadanya mengenai pendapatan yang rendah.

Ek eleh RM77 juta

Menurutnya, ada yang mengadu cuma mendapat RM74 sebulan.

Beliau menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan kerana harga komoditi yang rendah dan gagal membantu peneroka.

Bekas menteri kewangan juga mencabar penggantinya Lim Guan Eng untuk memberikan peruntukan RM1 bilion bagi membantu peneroka.

“Tiba-tiba nak beri RM77 juta. Guan Eng cakap. Ek eleh, RM77 juta, saya kalau PM saya akan beri RM1 bilion kepada Felda.

“Bantulah masyarakat Felda,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada hujung bulan lalu berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan bantuan diberikan kepada peneroka Felda, susulan masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun ini.

– M’kini

.