PAKATAN HARAPAN KERAJAAN SEPENGGAL?

Baru lapan bulan berada di Putrajaya, sejujurnya ketika ini sudah bermacam-macam rungutan boleh didengar berkenaan kerajaan baru Pakatan Harapan ini.

Paling banyak menjadi bualan ialah berkenaan prestasi menteri-menteri yang dianggap tidak memuaskan, malah kadangkala di bawah “standard” yang sepatutnya.

Lebih buruk, berbanding menteri-menteri daripada PKR, DAP dan Amanah, menteri daripada Bersatu yang dipilih sendiri oleh Tun Mahathir Mohamad menerima paling banyak kritikan serta kecaman daripada orangramai.

Seorang bekas Ahli Parlimen UMNO yang kini memilih tidak menyertai mana-mana parti pernah berkata, kecuali Muhyiddin Yassin, sebenarnya tiada seorang pun menteri daripada Bersatu yang layak duduk sebagai anggota kabinet.

Prestasi mereka memalukan Bersatu dan Tun Mahathir, tambahnya.

Selain prestasi menteri-menteri yang tidak memuaskan, perkara lain yang menimbulkan sungutan ramai ialah kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan banyak daripada janji-janji pilihanraya sebagaimana yang terkandung dalam manifesto PRU14 yang lalu.

Paling buruk ialah janji 100 hari yang sebahagiannya masih gagal ditunaikan, tetapi kerajaan dilihat seolah-olah tidak mengambil berat lagi mengenainya menjelang 200 hari, 300 hari dan tempoh seterusnya menjadi kerajaan.

Semua orang, termasuk Tun Mahathir sendiri, sudah tidak bercakap lagi mengenai manifesto 100 hari ketika ini, meskipun beberapa kelompok masyarakat seperti peminjam PTPTN dan peneroka Felda misalnya, tetap bising menuntut janji-janji yang tidak ditunaikan itu.

Seperkara lagi yang turut menjadi ketidakpuasan hati ramai ialah kerajaan Pakatan Harapan ini terlalu banyak melakukan tindakan “copy paste” daripada dasar kerajaan BN terdahulu serta melakukan “Pusingan U”.

Ketika belum berkuasa, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan berjanji seolah-olah mereka adalah  “Superman” untuk menyelamatkan negara, menyelesaikan masalah ekonomi, menghapuskan tol, menurunkan kos sara hidup dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Malangnya selepas berkuasa, mereka ternyata tiada idea sehingga terpaksa “copy paste” daripada apa yang pernah dilakukan oleh BN sebelumnya, malah ada juga membuat “Pusingan U” seperti mengembalikan semula tempoh operasi Pusat Transformasi Bandar kepada jam 10 malam, walaupun sebelumnya bertegas memendekkannya sehingga jam 7 malam saja.

Realitinya, semua kelemahan itulah yang menyebabkan bukan saja rungutan rakyat terhadap kerajaan boleh didengar di mana-mana, malah menjadikan Najib Razak semakin dekat di hati rakyat kebelakangan ini.

Najib yang baru-baru ini diberikan gelaran “Raja Troll” memang sejak akhir-akhir ini berjaya menjadikan kelemahan kerajaan, janji yang tidak ditunaikan, dasar “copy paste” dan “Pusingan U” oleh menteri-menteri sebagai bahan trollnya, sekaligus membandingkan dengan era kepimpinannya sebelum ini.

Semakin banyak troll Najib yang tidak mampu dijawab oleh menteri dan kerajaan, secara tidak langsung kedudukan Najib semakin popular di media-media sosial.

Daripada semua keadaan itu, ia bukan saja menyebabkan kerajaan ini semakin tidak diyakini, malah sudah ramai yang meramalkan tempoh Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya hanyalah sepenggal saja.

Mereka yang putus harapan terhadap Tun Mahathir juga kian bertambah hari demi hari ketika ini. Ramai yang melihat beliau masih terbelenggu dengan stail kepimpinan dan kehendak lama seperti bersungguh-sungguh membangunkan industri kereta ketiga, sedangkan masa dan keperluan dunia sudah banyak berubah pada waktu ini.

Tun Mahathir, kata mereka, seharusnya melihat industri baru yang mampu menjana perolehan dan peluang pekerjaan berganda untuk negara, tidak sekadar memenuhi keghairahan peribadinya terhadap kereta.

Di sebalik semua itu, setelah lapan bulan berlalu, pertambahan peluang pekerjaan, ekonomi yang merangsang dunia perniagaan dan keadaan negara yang lebih baik berbanding ketika di bawah BN dahulu,  masih lagi belum ternampak tanda-tanda yang boleh dirasa dan dilihat dengan mata.

Lantaran itu, ungkapan kerajaan sepenggal ini sudah boleh didengar di merata-rata dan jika tidak ditangani dengan segera, tidak mustahil ia akan menjadi kenyataan yang mudah akhirnya.

Lebih cepat kerajaan sepenggal itu menjadi kenyataan kiranya Tun Mahathir lebih mementingkan agenda peribadinya mahu berkuasa melebihi tempoh dua tahun dan cuba memungkiri janji penyerahan kuasa kepada penggantinya, Anwar Ibrahim.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.