‘SALIBFOBIA’ DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM

Polemik sosial telah tercetus lantaran sebuah bangunan belum siap di Jelutong, Pulau Pinang yang mempamerkan koordinasi lampu yang menyerupai simbol salib. Ia meniup semula api yang membakar fabrik keharmonian antara agama.

Isu ini bukanlah sesuatu yang bersangkut dengan usul teologi atau soal kebenaran, sebagaimana yang dibincangkan secara panjang lebar oleh sarjana sepertiImam Al-Ghazali dan St Thomas Aquinas. Sebaliknya, polemik ini merupakan isu persepsi dan salah faham.

Apabila segelintir Islam menzahirkan kegusaran terhadap penampakan lambang salib yang menghiasi dada bangunan itu, ia bukanlah bermakna mereka lemah iman atau tidak berkeyakinan dengan akidah mereka, jauh sekali kerana takutkan lambang salib.

Fenomena tersebut berlaku kerana prejudis, natijah daripada gabungan faktor luaran dan dalaman. Pewacanaan naratif yang negatif terhadap agama lain (sosial), serta kecenderungan memakai topi eksklusivisme dalam ruang sosial (psikologi).

Maka istilah yang lebih tepat untuk menjelaskan fenomena prejudis sedemikian adalah xenofobia. Ia merupakan fenomena emosional yang kompleks berteraskan syak wasangka terhadap “yang lain.”

Bagaimanakah pendirian yang sewajarnya dalam mendepani xenofobia? Dan apakah jalan terbaik untuk mendepani isu salibfobia ini secara adil dan saksama?

Islam dan penolakan xenofobia

Sarjana kontemporari, Muhammad ‘Imarah menerusi kitabnya berjudul “Al-Islām wa al-Amn al-Ijtimā‘ī” (Islam dan keamanan sosial) menjelaskan kepada kita bahawa antara maqasid (objektif) sosial terbesar dalam Islam adalah pemeliharaan keamanan. Dan antara elemen keamanan adalah pemeliharaan hak setiap warganegara tanpa mengira bangsa, warna kulit, jantina dan agama.

Kita seharusnya memahami kepelbagaian yang wujud dan menerima hakikat negara ini bukan sahaja dihuni oleh penganut Islam, tetapi juga oleh sahabat kita dengan kepercayaan lain. Ia memerlukan jiwa yang besar untuk menerima dan meraikan kepelbagaian, yang darjatnya lebih tinggi daripada toleransi luaran.

Allah menjadikan elemen persefahaman sebagai syarat untuk menyuburkan keamanan dalam masyarakat. Seruan Al-Quran dalam surah Al-Hujurat ayat 10 yang menganjurkan pendekatan al-ta‘āruf (saling kenal-mengenal) adalah bertujuan terus untuk menutup pintu yang menjurus kepada xenofobia.

Selain itu, Nabi Muhammad juga berusaha memadamkan kecenderungan itu dalam masyarakat Islam yang baru bertunas tatkala itu dengan memeterai Sahifah Madinah. Sahifah yang dijoloki sebagai perlembagaan pertama di dunia itu mengiktiraf hak dan tanggungjawab komuniti seperti Yahudi dan Kristian, di samping mewujudkan rasa kebersamaan dengan menyifatkan keseluruhan komuniti itu sebagai satu umat Madinah.

Salib juga bukanlah sesuatu yang asing sepenuhnya dalam Syariah. Bagi sarjana dan pelajar fiqh, mereka pastinya mengetahui salib dibahaskan dalam bab jenayah. Sebagaimana yang dinukil daripada surah Al-Ma’idah ayat 33, ia menyatakan pelaku jenayah al-ḥirābah (rompakan bersenjata) mesti dihukum dengan hukuman yang setimpal, dan antaranya disalib.

Benar, salib dianggap sebagai simbol akidah agama Kristian secara konvensyen. Namun ia tidak wajar dianggap sebagai perkara yang asing dan aneh kerana ia sememangnya dibahaskan oleh ulama dalam tradisi Islam.

Jadikan Barat sebagai pengajaran

Pada hari ini, penganut Islam di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengalami kesulitan dalam mengamalkan cara hidup Islam. Mereka dikekang daripada pengamalan agama sama ada dari sudut pemakaian, ibadah, mahupun dari sudut idea keislaman, sebagaimana yang berlaku di sebahagian universiti.

Council on American-Islamic Relations (Cair) melaporkan peningkatan 65% dalam kes Islamofobia antara 2014 ke 2016 di AS. Sementara United Kingdom menyaksikan peningkatan sebanyak 26% serangan anti-Islam pada 2017.

Di segenap tempat, sama ada di sekolah, pejabat, malah kawasan kejiranan, sebahagian segmen masyarakat Eropah di sana menzahirkan sikap skeptik dan kebencian terhadap terhadap apa jua citra keislaman yang dipamerkan oleh masyarakat Islam.

Namun, pendekatan prejudis bukanlah suatu elemen yang bagus untuk sebuah masyarakat yang bertamadun. Ia mencarik fabrik sosial, meretakkan solidariti dan mengancam keamanan sosial.

Oleh yang demikian, sikap xenofobia yang ditonjolkan oleh masyarakat Eropah dan AS terhadap simbol keagamaan Islam adalah amat penting untuk dijauhi oleh penganut Islam di sini selaras dengan prinsip kepelbagaian.

Jika kita menginginkan saudara seakidah kita aman di sana, kita juga wajar untuk menyahkan segala elemen kebencian yang sama terhadap masyarakat beragama lain di sini. Dalam hal ini kita boleh tonjolkan negara majoriti Islam mampu mengamalkan pendekatan yang lebih inklusif berbanding mereka.

Menyikapi kritikan

Sikap xenofobia terhadap agama lain adalah fenomena sosial yang mesti diluruskan menerusi didikan dan institusi agama, selaras dengan tuntutan keamanan dalam Islam.

Namun dalam hal ini, beberapa individu tampil dengan kritikan yang mempertahankan sentimen xenofobia ini. Antara mereka adalah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican dan juga Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.

Meskipun kritikan itu dari pembangkang, namun adalah tidak wajar sekiranya kritikan seperti ini ditolak begitu sahaja atas alasan “isu ini tidak seharusnya dipolitikkan”.

Sudah menjadi tugas kerajaan dan pihak berkuasa untuk merespon terhadap apa jua isu yang dibangkitkan, maka kritikan tersebut wajar disikapi secara objektif tanpa menggunakan alasan sedemikian.

Adapun pemaparan salib tersebut, meskipun jika disengajakan, bukanlah suatu bentuk kristianisasi sebagaimana yang didakwa. Kristianisasi melibatkan proses pemelukan agama Kristian oleh penganut agama lain, dan dalam hal ini pula isunya lebih kepada prasangka hasil daripada xenofobia, dan tiada siapa yang dilaporkan menukar agamanya sejurus melihat simbol tersebut.

Penyalahgunaan istilah kristianisasi itu serba-serbi menyumbang kepada pewujudan persepsi negatif antara agama di samping melanggar ma’na konsep itu sendiri.

Demi keamanan

Memahami hakikat sosial tidak semua individu berada pada aras pemikiran yang sama, maka elemen sensitiviti penganut agama juga wajar dipertimbangkan oleh pihak pemaju.

Dalam setiap kelompok masyarakat pasti wujud sebahagian yang masih diselubungi xenofobia. Mereka tidak wajar dihukum. Jalan peneutralan sikap ini adalah melalui dialog dan didikan yang merasionalkan, baik secara formal mahupun tidak.

Di pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, kebebasan yang diberikan mesti diseimbangkan dengan tanggungjawab yang sewajarnya. Isu sebegini mesti ditangani sepantas mungkin agar ketenteraman awam terjaga.

Mereka disarankan agar menginisiatifkan dialog untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pemaju di samping mencadangkan langkah terbaik dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat. Mungkin pendekatan sebegini lebih baik berbanding dengan pendekatan yang berasaskan elemen paksaan atau hukuman.

Pada masa yang sama, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan juga wajar untuk menggubal silibus yang lebih mencerminkan kepelbagaian yang wujud di Malaysia. Amat wajar untuk subjek perbandingan agama diperluaskan ke peringkat sekolah, terutama buat memupuk rasa hormat dan penghargaan terhadap kewujudan budaya lain.

Dengan itu, di samping mendidik masyarakat untuk berjiwa besar dan merai kepelbagaian, batas sensitiviti dalam agama lain dapat difahami dengan lebih mendalam.

Didikan menolak xenofobia dan didikan untuk sensitif terhadap agama dan budaya mesti maju seiringan. Idea keharmonian sebegini mampu untuk mencorak imej Malaysia sebagai negara teladan untuk masyarakat berbilang bangsa pada masa akan datang.

* Hilman Fikri Azman ialah penyelidik di EMIR Research dan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Usuluddin dan Perbandingan Agama.

– FMT

.