CALON PRK CAMERON AKAN DEBAT DI TV

Debat calon-calon yang bertanding kerusi parlimen ini akan disiarkan pada Rabu malam nanti. Dikatakan ia julung-julung kali diadakan di negara ini.

Debat itu anjuran gabungan reformasi pilihan raya, Bersih akan disiarkan secara langdung melalui saluran Astro Awani dan TV1 pada jam 9 malam.

Majlis debat itu berjudul “Apa perubahan yang diperlukan Cameron Highlands” dengan moderatornya felo kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faisal S Hazis.

Pengundi Cameron Highlands yang akan melaksanakan tanggungjawabnya pada Sabtu depan boleh menonton debat itu secara langsung di Hotel Heritage, Tanah Rata.

Calon yang bakal ikut serta ialah M Manogaran (Pakatan Harapan), Sallehuddin Ab Talib (bebas) dan Wong Seng Yee (bebas).

Calon BN Ramli Mohd Nor belum menyatakan komitmennya untuk menyertai debat itu.

Kemampuan wakil rakyat berhujah

Bersih menganjurkan debat ini dengan tujuan menyemai budaya baru yang positif untuk politik Malaysia, kata jurucakap kumpulan itu Thomas Fann.

“Debat merupakan cara yang baik kepada calon-calon untuk bercakap dengan penonton mengenai cadangan dasar mereka dan kefahaman mereka terhadap sentimen setempat.

“Orang ramai yang mengundi dan tidak mengundi juga boleh menilai sendiri calon- calon itu serta kemampuan mereka untuk berhujah, kriteria yang diperlukan untuk menjadi wakil rakyat.

“Dalam jangka panjang, mudah-mudahan ini akan memberi tekanan kepada pihak-pihak untuk mengemukakan calon yang lebih berkemampuan,” katanya ketika dihubungi.

Keempat-empat calon dalam pilihan raya kecil kali ini dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis debat itu, katanya.

“Malang sekali Ramli enggan mengambil peluang ini. Kami tidak pasti mengapa tetapi ketidakhadiran beliau boleh mengundang tanggapan negatif oleh pengundi Cameron Highlands.

“Walau bagaimanapun, jemputan berkenaan masih terbuka sekiranya beliau mengubah fikirannya,” katanya.

– M’kini

.