PEMIMPIN UMNO: HUBUNGAN DENGAN PAS BERTAMBAH BAIK, BOLEH MENANG PRU15

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata hubungan parti itu dengan PAS bertambah baik dan mendapat sokongan akar umbi.

Beliau berkata, hubungan rapat itu dapat membantu pembahagian kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Apabila PAS dan Umno bersatu, kami satu-lawan-satu dengan PH (Pakatan Harapan). Kita boleh menang besar nanti.

“Jika kita ada 100 kerusi, yang lain akan sertai kami,” katanya dalam sesi menemui media malam ini.

Tajuddin berkata, setakat ini, MIC dan MCA tidak membantah idea Umno dan PAS bekerjasama untuk memenangi lebih banyak sokongan akar umbi.

“Kami ada strategi sendiri,” katanya sambil menambah Umno sedia bekerjasama dengan badan bukan kerjaaan dan persatuan berasaskan Cina untuk mendapat sokongan rakyat.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Umno tidak bercadang bekerjasama dengan PKR kerana perbezaan ideologi dan hanya ada kira-kira 20% orang Melayu dalam PKR yang majoritinya terdiri daripada orang Cina dan India.

“Oleh itu, ia adalah versi lain DAP.”

Parti berasaskan kaum

Tajuddin berkata, Malaysia hanya boleh menghapuskan parti politik berasaskan kaum, selepas semua kaum mencapai persefahaman.

Ketika ini, katanya, setiap kaum masih bimbang untuk mencapai matlamat masing-masing.

“Kita belum capai tahap di mana kita boleh berkongsi matlamat dan objektif sama,” katanya merujuk keadaan semua kaum boleh berkongsi kejayaan dan pembahagian kekayaan secara sama rata.

Beliau berkata, jurang ekonomi antara orang Melayu, India dan Cina masih ketara.

“Masih ada sejumlah orang India di estet. Mereka perlu diberikan peluang.”

Bagaimanapun, Tajuddin berkata, DAP mempunyai agenda berbeza, iaitu mengamalkan meritokrasi.

“Mereka tidak kata ia adalah agenda Cina. Kita perlu melihat (mesej) tersirat mereka. Itu strategi mereka.”

Beliau memberi contoh sesetengah menteri DAP memakai baju kurung untuk memberi tanggapan mereka berbilang budaya.

– FMT

.