PAHANG HUTANG TERTINGGI, SUKAR BANTU RAKYAT – GUAN ENG

Kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sukar untuk membantu masyarakat dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands kerana berdepan masalah hutang berjumlah RM3.1 bilion dengan kerajaan Persekutuan.

Justeru, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta pengundi dalam kalangan masyarakat Orang Asli memberi keyakinan dan mandat kepada calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dari DAP, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 29 Jan ini.

Beliau berkata kewangan kerajaan negeri BN itu tenat dan tidak mampu membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan DUN Tanah Rata di bawah Parlimen Cameron Highlands.

“Sebaliknya, hanya kerajaan Persekutuan di bawah PH mampu menjaga kebajikan rakyat dan memberi limpahan pembangunan berterusan di kawasan Parlimen ini,” katanya ketika berucap pada majlis bersama Orang Asli Pos Betau, dekat Kuala Lipis semalam.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh, Anggota Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad dan Manogaran.

Sementara itu, Lim, yang juga menteri kewangan, turut menyangkal dakwaan pembangkang kononnya masyarakat Orang Asli akan kehilangan kemudahan rawatan hospital percuma, elaun Tok Batin dihentikan, tiada bantuan persekolahan, tanah adat mereka dirampas dan kebebasan beragama jika tidak menyokong PH.

Beliau meminta masyarakat Orang Asli supaya jangan terperangkap dengan seruan seperti itu dan jangan termakan dakyah dan fitnah daripada pembangkang.

Masyarakat Orang Asli mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi keseluruhan di Parlimen Cameron Highlands manakala pengundi Melayu 34 peratus, Cina 30 peratus dan India 14 peratus.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, Manogaran, Ramli Mohd Nor dari BN dan dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee.

– Bernama

.