BN SAMAN AHLI PARLIMEN UMNO, TUNTUT KOS PILIHAN RAYA

BARISAN Nasional (BN) memfailkan saman terhadap bekas ahli Parlimennya, Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) untuk menuntut pembayaran balik dana yang dibelanjakan oleh parti gabungan itu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, pada malam ini mengatakan peguam BN sudah memfailkan saman terhadap kedua-dua anggota Parlimen, yang meninggalkan parti itu.

“Umno sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Parlimen Masjid Tanah dan Bagan Serai,” kata Annuar di Tanah Rata semasa berkempen untuk BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini.

Annuar mengulangi kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Disember lalu yang mengatakan semua bekas ahli Parlimennya yang keluar parti itu perlu “membayar hutang budi” yang membolehkan mereka menang PRU14.

Presiden Umno itu berkata Umno sudah memfailkan saman di mahkamah terhadap semua ahli Parlimen yang keluar parti itu untuk satu ganti rugi dengan jumlah yang besar.

Saman itu difailkan pada 14 November lalu, katanya.

Pada masa itu, Umno hanya hilang lima ahli Parlimen iaitu Noor Azmi, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mas Ermieyati, Mustapa Mohamed (Jeli) dan Anifah Aman (Kimanis).

Noor Azmi, Mas Ermieyati dan Mustapa kini sudah menyertai Bersatu.

Lebih awal sebelum itu, dalam tempoh seminggu selepas PRU14, tiga wakil rakyat negeri di Johor dan beberapa wakil rakyat di Sabah juga keluar parti.

Pada 11 Oktober, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli menyertai Parti Warisan Sabah, sebelum lima ahli Parlimen dan wakil rakyat negeri dari Sabah serta 21 ketua bahagian Umno negeri itu keluar parti, Rabu lepas.

Dua hari kemudian, enam lagi ahli Parlimen Umno mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Zahid. Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah).

Sementara itu, mengenai enam ahli Parlimen yang mahu menyertai semula Umno, Annuar berkata Umno masih belum mempunyai sebarang perbincangan rasmi mengenai isu itu.

Beliau berkata mereka masih belum menerima sebarang permohonan walaupun ada mendengar khabar angin mengenainya.

“Kami adalah parti terbuka. Dalam situasi ini, kami memahami keadaan yang dihadapi oleh rakan-rakan (bekas ahli Parlimen) yang membuat keputusan seperti itu.

“Jika mereka berubah fikiran, maka kita boleh berbincang mengenainya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.