AZEEZ, ABANG DIJANGKA HADAPI 17 PERTUDUHAN

AHLI Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim bersama abangnya, Abdul Latif dijangka menghadapi sehingga 17 pertuduhan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram, kata sumber.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Azeez dijangka menghadapi 10 pertuduhan atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM140 juta.

Lima lagi pertuduhan dijangka berhubung kesalahan menerima rasuah untuk meluluskan kontrak berjumlah RM5.2 juta, kata sumber.

Abdul Latif pula dijangka akan menghadapi dua pertuduhan atas kesalahan bersubahat menerima rasuah, kata sumber SPRM.

“Wang rasuah itu diterima sebagai dorongan projek membabitkan Lembaga Tabung Haji dan syarikat lain yang mempunyai kaitan dengan kerajaan lama.

“Semua wang itu dipindahkan ke lebih lima akaun bank persendirian dan syarikat,” kata sumber ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Kedua-duanya dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9.00 pagi esok.

Pendakwaan dijanga dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM menahan kedua-dua beradik itu selepas mendapat izin pendakewaan daripada Pejabat Peguam Negara hari ini.

Menurut kenyataan rasmi SPRM, kedua-duanya ditahan pada jam 4.30 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Azeez pada September lalu ditahan ketika memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kes tender projek kerajaan.

Seorang abangnya juga ditahan berhubung berhubung siasatan kes penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

– https://www.themalaysianinsight.com

.