PH SEPERTI TERLEBIH BELANJA DI CAMERON HIGHLANDS, KATA ANNUAR

CAMERON HIGHLANDS – Umno berkata perbelanjaan Pakatan Harapan untuk pilihan raya kecil Cameron Highlands seperti sudah melebihi had yang dibenarkan.

Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa berkata kalau dihitung papan iklan dan panji dari Lipis ke Tanah Rata, melalui Kampung Keledek di Koyan, sahaja memerlukan belanja yang banyak.

“Saya kira kosnya sudah melebihi kos pilihan raya. Itu ‘obvious’ sekali,” katanya ketika ditemui di program bersama belia di Tanah Rata malam tadi.

Mengikut peraturan pilihan raya, perbelanjaan calon atau ejen pilihan raya dihadkan pada RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi DUN.

Annuar sempat menyentuh mengenai isu pemberian “duit minyak” melibatkan sukarelawan PH yang tular baru-baru ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang kerana sudah “pandai jadi kerajaan”.

“Saya bersyukur…alasan serupa BN bagi dulu,” tambahnya.

Sebelum ini, tular gambar seorang individu memakai baju berlambang Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa individu lain.

Pemimpin PH berkata individu berkenaan adalah seorang sukarelawan Impian Malaysia dan wang yang diagihkan itu adalah bayaran balik kos petrol para sukarelawan.

Annuar akui politik wang dan penggunaan kenderaan dan kemudahan kerajaan semasa pilihan raya sering dikaitkan dengan parti-parti pemerintah dan perkara itu sudah menjadi pengetahuan umum.

“Kita pembangkang tak ada wang,” katanya. “Kita jadi kerajaan dulu lalui perkara yang sama tapi kita sudah bertekad meninggalkan semua amalan yang bercanggah.”

– FMT

.