PKR BERPECAH KERANA TUN MAHATHIR?

Bibit-bibit perpecahan jelas ternampak semakin ketara dan nyata dalam PKR sekarang ini.

Malah, Anwar Ibrahim yang mengasaskan PKR sebagai landasan memperjuangkan reformasi dalam negara sepertinya kian tidak dihormati lagi oleh mereka yang dulu adalah merupakan “budak-budaknya” saja.

Pasca pemilihan PKR baru-baru ini yang menyaksikan Azmin Ali, Khalid Jaafar dan beberapa pemimpin lain mempertikaikan perlantikan yang dibuat oleh Anwar, keadaan terus bertambah kusut hari demi hari kebelakangan ini.

Terbaru, Zuraida Kamaruddin, Naib Presiden PKR turut menyerang Anwar dengan melabelnya sebagai pengkhianat kepada demokrasi serta mengamalkan kepimpinan diktator.

Kenapakah tiba-tiba PKR bergolak dan seakan menuju perpecahan sekarang ini?

Mengapa semakin ramai begitu berani mempertikaikan perlantikan yang dibuat oleh Anwar, sedangkan atas kuasanya sebagai Presiden PKR beliau bebas melantik sesiapa saja?

Kenapakah dalam pemilihan-pemilihan sebelum ini di mana ia turut menyaksikan Azmin dicabar juga kedudukannya, tetapi PKR tetap tenang sebaik pemilihan berakhir?

Mengapakah kali ini hanya kerana Rafizi Ramli yang menentang Azmin dan kemudian dilantik sebagai Naib Presiden, gelora dan hempasan ombak serta badai yang melanda PKR seakan berterusan dan tidak berhenti-henti?

Apakah Rafizi yang menjadi punca perpecahan dalam PKR?

Apakah semua ini juga memperlihatkan kepimpinan Anwar tidak lebih baik penerimaannya oleh ahli-ahli PKR berbanding kepimpinan Dr. Wan Azizah Wan Ismail?

Lebih musykil, kenapa semakin ramai yang berani bersuara dan melakukan penentangan terhadap Anwar sedangkan beliau adalah bakal Perdana Menteri selepas ini?

Jika kita imbas dan teliti kembali, riak-riak perpecahan dalam PKR ini berlaku hanyalah selepas Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan dan Tun Mahathir kembali memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua.

Sebelum dan sebaik Pakatan Harapan menang, memang sudah dipersetujui Anwar adalah bakal pengganti kepada Tun Mahathir yang  mana tempoh peralihan itu disebut sendiri oleh Perdana Menteri ialah dalam  jangkamasa dua tahun.

Tetapi, soal pengganti itu tiba-tiba jadi bercelaru dan nama Azmin segera menjadi sebutan sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 tidak lama selepas bekas Menteri Besar Selangor itu dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, meskipun namanya tidak disenaraikan oleh PKR untuk menduduki sebarang jawatan menteri.

Untuk apa Tun Mahathir memberi jawatan kanan dalam kerajaan kepada Azmin jika bukan untuk mewujudkan persaingan dan menanam benih-benih perpecahan?

Perlantikan beliau sebagai menteri kanan dalam kabinet Tun Mahathir dilihat oleh banyak pemerhati sebagai isyarat bahawa Perdana Menteri mahu menyerahkan kuasa kepada Azmin dan bukan kepada Anwar.

Lebih jelas kemudiannya, Tun Mahathir terus menunjukkan keakrabannya terhadap Azmin serta melantiknya sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah, badan pelaburan utama kerajaan.

Di kalangan Bersatu dan PKR pula berkembang desas-desus yang bukan lagi terselindung dengan menyebut Azmin adalah bakal Perdana Menteri ke-8 dan ini secara tidak langsung mewujudkan persaingan antara beliau dengan Anwar.

Hakikatnya, jika Tun Mahathir tidak melantik Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan membiarkannya terus kekal sebagai ketua kerajaan negeri Selangor, pergolakan dan perpecahan dalam PKR mungkin tidak seperti yang ada sekarang.

Kiranya Tun Mahathir tidak melantik Azmin sebagai menteri di kementerian yang kanan juga, mungkin tidak timbul isu tentang tergugatnya kedudukan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

Jika Azmin masih Menteri Besar Selangor dan tidak diura-urakan sebagai bakal Perdana Menteri ke-8, Khalid Jaafar, Zuraida Kamaruddin dan lain-lain pemimpin PKR barangkali tidaklah seperti sekarang beraninya mengkritik dan menyerang Anwar.

Realiti, inilah gaya “pecah dan perintah” atau “divide and rule” yang menjadi amalan Tun Mahathir sehingga beliau mampu berkuasa selama 22 tahun melalui UMNO sebelum ini.

Dulu beliau melakukannya dalam UMNO, kini ia dilakukan kepada PKR . Dulu musuh kuasa Tun Mahathir ada dalam UMNO, tapi kini ancaman kepada kuasanya berada dalam PKR.

Maka itulah “pecah dan perintah 2.0” dilakukannya kepada PKR.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.