GUAN ENG IMPIKAN MALAYSIA JADI DEMOKRASI YANG BOSAN

IMPIAN Menteri Kewangan Lim Guan Eng ialah mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara “demokrasi yang membosankan” tanpa sebarang skandal kewangan dan berikrar akan mendapatkan semula kesemua dana negara yang diseleweng melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita mahu terutamanya rakyat Malaysia berasa yakin bahawa Malaysia kini bukan lagi sebuah kleptokrasi global, kita sekarang demokrasi yang normal, membosankan,” kata Lim dalam satu rancangan temu bual dengan CNN.

“Saya mahu Malaysia jadi demokrasi yang normal, membosankan di mana tiada skandal kewangan, tiada lagi 1MDB, Jho Low, tiada lagi bekas perdana menteri (Najib Razak),” tambah beliau, merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan,  Low Taek Jho.

Lim turut berikrar “untuk membuat apa sahaja yang perlu untuk memastikan keadilan ditegakkan” dalam usaha untuk mendapatkan semula dana negara yang telah diselewengkan.

Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mendakwa Low dan beberapa individu lain menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion dan menggunakannya untuk membeli kapal pesiar, jet peribadi, hartanah, barang kemas serta beberapa barangan mewah lain.

Putrajaya pada Disember memfailkan pendakwaan jenayah terhadap Goldman Sachs yang membantu 1MDB melalui pembiayaan sebanyak AS$6.5 bilion menerusi terbitan tiga tawaran bon pada 2012 dan 2013.

Bank itu menerima AS$600 juta sebagai yuran bagi perkhidmatan tersebut.

Goldman Sachs cuba meletakkan kesalahan atas pegawai-pegawainya dan menegaskan yang ia telah diperdaya oleh 1MDB dan bekas pegawai kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, Lim menegaskan yang bank itu mengetahui mengenai urusan tersebut dan Putrajaya telah menuntut ganti rugi sebanyak AS$7.5 bilion.

“Bagaimana kamu boleh nafikan tanggungjawab sedangkan kamu kutip yuran yang begitu besar, dan pada masa yang sama kamu keluarkan kenyataan bahawa kamu mewakili Malaysia. Saya tak fikir mereka boleh senang-senang larikan diri,” kata Lim.

Bekas pegawai bank Goldmans Sachs, Roger Ng dan Tim Leissner telah didakwa bersubahat dengan Low. Leissner mengaku bersalah, manakala Ng meminta supaya dibicarakan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.