HISHAMMUDDIN SETIA DENGAN UMNO, KATA NAJIB

HISHAMMUDDIN Hussein akan terus kekal bersama Umno, lapor media memetik kenyataan bekas presiden parti Najib Razak.

Najib yang juga bekas perdana menteri berkata beliau sudah bertemu sendiri dengan sepupunya itu dan mendapat jaminan tersebut.

“Berkenaan Hishammuddin, saya beberapa hari lalu ada bertemu dan bercakap sendiri dengannya dan beliau memberi jaminan akan tetap kekal dengan Umno,” kata Najib, dipetik Utusan Online hari ini.

Menurut Najib, perbualannya dengan Hishammuddin menyentuh antara lain soal gambar percutian beliau dan keluarga dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan keluarga di Maghribi, baru-baru ini.

“Saya juga menyebutkan, janganlah (berpaling), sayang dan kasihlah pada Umno kerana ini darah daging kita dan alhamdulillah dia beri pendirian itu kepada saya,” katanya.

Najib dilapor berkata demikian menjawab soalan kedudukan Hishammuddin dalam Umno selepas bekas naib presiden Umno itu dikaitkan dengan pelbagai desas-desus mengenai langkah politiknya sejak kebelakangan ini.

Selain foto percutian keluarga di Maghribi, yang didakwa sebagai ‘kebetulan’, Hishammuddin turut dikaitkan sebagai tokoh yang memainkan peranan besar dalam tindakan wakil rakyat Umno keluar parti.

Hishammudddin, yang juga Ahli Parlimen Sembrong, menafikan tuduhan itu.

Gambar itu dimuat naik ke Twitter oleh anak Azmin, Ameer dengan tulisan: “Keluarga kami bersatu semula.”

Ameer kemudian memadam gambar itu dari Twitter namun ia sudah memacu pelbagai spekulasi mengenai Hishammuddin dan Azmin.

– https://www.themalaysianinsight.com

.