MODEL INDONESIA DALAM KONTROVERSI ISTANA KELANTAN BAKAL BERTANDING PILIHAN RAYA

PETALING JAYA: Model terkenal Indonesia, Manohara Odelia Pinot yang terkait kontroversi berkaitan Istana Kelantan pada 2009 menawarkan diri sebagai calon wakil rakyat pada pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia yang akan berlangsung April ini.

Manohara dijangka akan bertanding di kerusi Jawa Timur 1 meliputi kawasan Surabaya-Sidoarjo atas tiket Parti Nasional Demokrat (Nasdem), sebuah parti yang dipengerusikan oleh Surya Paloh, pemilik syarikat Media Group yang memiliki akhbar harian Media Indonesia dan saluran televisyen, Metro TV

Nasdem mengetengahkan paling ramai artis pada pemilihan DPR kali ini. Manohara juga dikenali sebagai seorang aktivis sosial sebelum disunting menyertai politik.

Ketua Nasdem bagi wilayah Jawa Timur, Sajekti Sudjunadi dilapor berkata mereka diberi misi besar untuk “membangkitkan dan menyebarluaskan nilai-nilai kebangsaan” melalui parti itu, lapor laman web berita Indonesia, Surya.

Manohara menjadi tajuk berita utama pada 2009 apabila dia melarikan diri daripada suaminya dan Tengku Temenggong Kelantan ketika itu, Tengku Muhammad Fakhry Petra, adik kepada Sultan Kelantan sekarang, Sultan Muhammad V.

Tengku Fakhry menafikan Manohara didera dan pada Julai 2009, menyaman Manohara dan ibunya kerana memfitnah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menganugerahkan ganti rugi RM6 juta kepada Tengku Fakhry pada 2010.

– FMT

.