SULTAN ABDULLAH NAIK TAKHTA PAHANG HARI INI

KUANTAN – Rakyat Pahang secara rasminya akan menerima ketua negeri baru apabila Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diumumkan sebagai Sultan Pahang ke-6 dalam istiadat yang akan berlangsung di Bandar Diraja, Pekan, esok.

Majlis yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada 11 pagi itu mencatat sejarah penting bagi negeri itu selepas kali terakhir istiadat itu diadakan pada 45 tahun lalu, sempena pengumuman ayahnya, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar pada 7 Mei 1974.

Pengumuman Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang esok diputuskan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang selepas bermesyuarat pada Jumaat lepas. Majlis itu sebulat suara bersetuju Sultan Abdullah diumum menggantikan ayahnya yang kini dilaporkan tidak sihat dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sultan Abdullah, 59, sebelum ini memangku jawatan Sultan Pahang sejak 28 Disember 2016.

Tinjauan Bernama di Istana Abu Bakar hari ini mendapati persiapan sedang giat dilakukan petugas dan pegawai istana serta jabatan yang berkenaan bagi memastikan istiadat bersejarah itu berjalan lancar walaupun diadakan dalam tempoh yang singkat.

Sultan Abdullah turut ke Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada petang ini bagi meninjau raptai yang diadakan untuk istiadat itu.

Sultan Abdullah meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat persiapan istiadat berkenaan.

Turut serta Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Ariff Temenggong Pahang Tengku Abd Fahd Muadzam Shah, serta anak-anak.

Tinjauan Bernama juga mendapati laluan utama ke Istana Abu Bakar dihias indah dengan bendera Pahang yang berkibaran di kiri kanan jalan menuju ke istana.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mengesahkan tiada pengisytiharan cuti peristiwa sempena istiadat itu esok.

Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal, Pekan merupakan cahaya mata keempat pasangan dan juga anak lelaki sulung Sultan Ahmad Shah dan Tengku Afzan Tengku Muhammad.

Sultan Abdullah seorang yang cukup arif dalam selok belok hal ehwal pentadbiran negeri kerana menjadi Tengku Mahkota Pahang hampir 44 tahun apabila secara rasmi dilantik sebagai waris ganti pada 1 Julai 1975 iaitu sehari selepas genap berusia 16 tahun.

Sultan Abdullah juga telah 2 kali dipertanggungjawabkan menjadi pemangku Raja Pahang iaitu kali pertama pada 28 April 1979 untuk tempoh 5 tahun ketika berusia 20 tahun, apabila Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Agong ketujuh (1979-1984).

Kewibawaan yang ditunjukkan itu menyebabkan Sultan Ahmad Shah berkenan sekali lagi melantiknya menjadi pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2016 selepas kesihatannya mula merosot.

Sultan Abdullah mendirikan rumahtangga dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986, dan dikurniakan 9 cahaya mata iaitu 4 lelaki dan 5 perempuan.

– FMT

.