PEMIMPIN UMNO PENGHALANG NAJIB CAPAI IMPIAN “RAKYAT RINDU ZAMAN SAYA JADI PM”

Apabila Najib Razak secara terbuka menyatakan “Rakyat rindu zaman saya jadi PM”, dengan mudah ia juga memberi maksud beliau ingin membuat kemunculan semula dalam politik.

Bermakna, keaktifan Najib turun padang dan bertemu rakyat kebelakangan ini tidak sekadar bertujuan untuk membantu UMNO dan BN kembali berkuasa semula, malah untuk menonjolkan dirinya kembali ke persada kuasa.

Jika bukan itu tujuannya, untuk apa Najib berkata, “Rakyat rindu zaman saya jadi PM”?

Tetapi, bolehkah Najib kembali jadi Perdana Menteri semula?

Ada yang berkata, kalau Tun Mahathir Mohamad boleh jadi Perdana Menteri buat kali kedua, apa kurangnya dengan Najib?

Dalam konteks ini, kedudukan Najib boleh dilihat dalam dua aspek yang berbeza.

Pertama, Tun Mahathir tidak menjadi Perdana Menteri buat kali kedua melalui UMNO, tapi melalui Bersatu yang ditubuhkannya yang kemudian bergabung dengan PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan.

Bermaksud, Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua dengan cara menentang dan menumbangkan UMNO.

Realitinya, Tun Mahathir sedar, beliau tidak mungkin kembali ke puncak kuasa melalui UMNO kerana pemimpin-pemimpin UMNO tidak mungkin membenarkan perkara itu berlaku.

Jangankan untuk kembali sebagai Perdana Menteri, untuk jadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO pun Tun Mahathir pernah ditolak mentah-mentah.

Itulah sebabnya beliau memilih wadah baru untuk meneruskan perjuangan dan menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Begitu juga dengan Najib, tidak mungkin pemimpin-pemimpin UMNO sedia ada membenarkannya kembali ke puncak kuasa melalui parti itu.

Sama ada UMNO menang pilihanraya akan datang atau parti itu kembali menjadi kerajaan melalui cara lain seperti penggabungan kuasa atau sebagainya, mustahil nama Najib akan disenaraikan sebagai salah seorang pemimpin untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Pemimpin UMNO sedia ada akan menghalang kemunculan Najib kerana mereka sendiri yang mahu atau kemaruk mengisi kedudukan tersebut.

Apalagi jika jawatan yang perlu diisi itu adalah kerusi Perdana Menteri, maka akan lebih kuatlah mereka menolak Najib daripada mendudukinya.

Semua pemimpin UMNO yang ada, sama ada yang berjawatan dalam parti atau tidak, pasti akan lebih bersungguh-sungguh berhujah untuk menolak Najib berbanding menerimanya.

Kedua, Najib kini berdepan dengan puluhan pertuduhan di mahkamah yang mungkin proses perbicaraannya akan memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Selagi proses itu berjalan, beliau dengan sendirinya akan terhalang daripada membuat kemunculan semula, malah tidak mustahil UMNO sendiri akan menggugurkannya untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang.

Jika bukan berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, bagaimana Najib mahu mencapai tujuan, “Rakyat rindu zaman saya jadi PM” itu?

Lebih daripada itu, kiranya Najib dipenjara pula berdasarkan sabitan atas pertuduhan mahkamah terhadapnya, impian beliau untuk kembali itu boleh dikata akan musnah sama sekali.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.com

.