PAKATAN TAK PERNAH BELI UNDI, KATA DR MAHATHIR

PAKATAN Harapan (PH) tidak pernah memberi duit untuk meraih undi rakyat, kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad..

“Pakatan Harapan tak pernah bagi duit kepada sesiapa. Kalau dah duit (peruntukan pembangunan) itu kerajaan bagi, dia bagilah.

“Itu semua orang dapat,” katanya pada majlis pelancaran produk silinder komposit gas ACGAS di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kononnya wujud amalan ‘membeli’ undi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sekarang seperti mana beberapa keping gambar yang tular dalam media sosial.

Isu beli undi di Cameron Highlands timbul selepas beberapa gambar sukarelawan PH mengagihkan wang kepada penyokongnya tular di media sosial.

PH menyatakan pemberian duit itu sebagai bayaran balik kepada kos minyak kepada sukarelawan Orang Asli yang datang daripada kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Pakatan itu juga berkata, pemberian itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan calonnya, M. Manogaran.

Manogaran hari ini juga berkata, pemberian duit kepada sukarelawan untuk kos makanan dan pengangkutan tidak salah di sisi undang-undang.

Pemberian itu bukan diberikan sebagai pertukaran untuk mendapatkan undi dan ia sebahagian daripada perbelanjaan kempen yang direkodkan, katanya.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mengulas mengenai isu berkenaan dan menggesa kepada mana-mana pihak yang melihat sebarang perbuatan pembelian undi atau salah laku lain ketika kempen di Cameron Highlands untuk membuat laporan polis.

“Sekiranya terdapat salah laku, sila buat laporan polis. Selalu ada elemen – baik dalaman dan luaran – yang akan merosakkan perjuangan kita untuk demokrasi.

“Kita perlu bekerjasama untuk mengatasi perkara ini,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Pilihan raya kecil Cameron Highlands yang akan berlangsung pada 26 Januari depan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Manogaran, Ramli Mohd Nor (Barisan Nasional) dan dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Pilihan raya itu diadakan selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU14 berikutan terdapat elemen beli undi dan politik wang dalam kemenangan BN.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.