PENGASAS SKUAD BADAR DITAHAN POLIS

PENGASAS Skuad Badar, Azhar Mohamad bersama seorang lagi ahli kumpulan itu ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini.

Azhar dan ahli skuad itu ditahan bersama di pejabat kumpulan itu di Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 9 malam semalam, untuk disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi dan Akta Pertubuhan, kata polis.

Mereka malam tadi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut sebelum permohonan reman dipohon ke atas mereka, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan penahanan Azhar kepada The Malaysian Insight.

“Saya boleh sahkan tangkapan sahaja. Sebentar lagi Ketua Polis negeri akan buat sidang media mengenai ini,” katanya ketika dihubungi.

Adzli turut memaklumkan pihaknya merampas sehelai rompi (vest) dengan tulisan “Skuad Badar Mencegah Kemungkaran dan Khidmat Masyarakat” serta telefon bimbit milik Azhar.

The Malaysian Insight difahamkan polis bertindak menahan Azhar berdasarkan satu laporan yang dibuat oleh seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Sungai Petani, kelmarin.

Polis juga memberitahu The Malaysian Insight, Azhar ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan komunikasi dalaman polis ke Facebook.

Skuad Badar yang menjalankan operasi cegah maksiat dalam kalangan masyarakat Islam di sekitar Sungai Petani tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa menganggap operasi Skuad Badar melanggar undang-undang walaupun badan itu mendakwa operasinya mencegah kemungkaran dalam pengetahuan pihak polis dan pihak berkuasa agama, berdasarkan laporan dan makluman setiap kali sebelum operasi.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.