TENGKU ABDULLAH LAYAK JADI AGONG

ISU kelayakan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak timbul, kata pakar undang-undang perlembagaan, walaupun baginda adalah sultan yang paling muda dari segi kekananan berdasarkan tempoh memerintah dalam kalangan sembilan raja-raja Melayu.

Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja menetapkan, calon Agong adalah antara sembilan Sultan yang dewasa.

Sejak 1994, Raja-Raja Melayu menggunakan sistem penggiliran antara sembilan negeri untuk memilih calon Agong. Di bawah sistem ini, selepas Sultan Muhammad V turun takhta minggu lalu, gilirannya jatuh pada Pahang untuk diangkat sebagai Agong.

“Ia adalah hak Pahang untuk letakkan calon paling utama sebagai Agong,” kata pakar sistem raja Melayu, Prof Zainal Kling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.

Menurut Zainal, persoalan sama ada Tengku Abdullah cukup kanan sebagai Sultan untuk layak menjadi Agong tiada kaitan kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, seorang raja itu hendaklah dewasa dan berhasrat dipilih memegang jawatan itu.

Isu kelayakan Tengku Abdullah sebagai calon Agong diperkatakan apabila baginda akan menjadi Sultan hanya sembilan hari sebelum Majlis Raja-Raja bersidang memilih Agong.

Tengku Abdullah, yang sebelum ini Pemangku Raja Pahang, akan dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada Selasa ini.

Baginda mengambil alih takhta daripada ayahandanya Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar, 88, yang turun takhta semalam kerana gering, seperti diumumkan adindanya Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman.

Majlis Raja-Raja dijadual bersidang 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong.

Seorang lagi pakar perlembagaan, Dr Azmi Sharom dari Universiti Malaya berkata, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menetapkan syarat seorang Sultan mesti memerintah untuk suatu tempoh tertentu sebelum layak dicalonkan sebagai Agong.

“Saya tidak fikir ada CV (vitae kurikulum) untuk jadi Agong, asalkan dewasa dan memenuhi syarat dalam Perlembagaan,” kata Azmi, dalam satu program bual bicara televisyen kelmarin.

Laman web Majlis Raja-Raja menyebut, hanya Sultan yang belum dewasa atau sudah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa baginda tidak berhasrat dipilih, tidak layak dipertimbangkan sebagai calon Agong.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V meletak jawatan sebelum tamat tempoh penggalnya, memaksa Majlis Raja-Raja bersidang untuk mencari pengganti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2019.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V meletak jawatan sebelum tamat tempoh penggalnya, memaksa Majlis Raja-Raja bersidang untuk mencari pengganti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2019.

Syarat akhir

Bagaimanapun, Tengku Abdullah perlu memenuhi satu lagi syarat akhir untuk jadi Agong iaitu mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya lima undi daripada daripada sembilan Raja-Raja Melayu.

Setiap seorang Sultan akan memberikan pendapatnya sama ada seseorang Raja yang dicalonkan sesuai atau tidak sesuai untuk dilantik sebagai Agong.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, sekiranya Sultan Pahang difikirkan layak oleh Raja-Raja Melayu lain dan mendapat sekurang-kurangnya lima sokongan, baginda akan jadi pengganti Agong.

“Tetapi sekiranya baginda menolak dicalonkan, Majlis Raja-Raja perlu menimbang calon seterusnya,” kata beliau.

Sekiranya calon tidak mendapat undi yang cukup, proses pemilihan akan dibuat sekali lagi melibatkan Sultan dalam senarai giliran.

Mengikut sistem itu, gilirannya ialah Sultan Johor diikuti Sultan Perak.

Selepas selesai urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong, pemilihan timbalannya akan disempurnakan mengikut proses sama.

Majlis Raja-Raja akan bersidang sekali lagi pada 31 Januari untuk acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

– https://www.themalaysianinsight.com

.