RAKYAT RINDU ZAMAN SAYA JADI PM, KATA NAJIB

SAMBIL memuji rekod pencapaian Barisan Nasional, Najib Razak berkata ramai rakyat mahukan beliau jadi perdana menteri sekali lagi malah mereka mahu beliau membantu menyelesaikan masalah mereka sekarang walaupun beliau sudah tidak berkuasa.

Pada pertemuan dengan penduduk Kampung Kerinchi, Pantai Dalam hari ini, beliau berkata selepas tujuh bulan Pakatan Harapan berkuasa, rakyat masih lagi mengutuskan mesej kepadanya melalui Facebook dan berkata beliau sepatutnya yang jadi perdana menteri.

Katanya, mereka menghantar mesej berbunyi “Saya rindu zaman DSN (Datuk Seri Najib)” di akaun media sosialnya.

“Jika saya jahat, mengapa mereka menghantar semua mesej ini. Jika PH hebat sangat, (rakyat tak akan kata) ‘saya rindu zaman Najib’.

“Di Facebook saya, Instagram saya dan Twitter saya, semua orang beritahu mereka rindukan saya,” kata Najib kepada penduduk.

Antara masalah utama yang diadu rakyat adalah harga barangan.

Katanya, beliau kerap melawat pasar basah untuk mendekati rakyat dan menerima banyak maklum balas negatif daripada peniaga dan pembeli.

“Pagi tadi saya di pasar basah Taman Muhibbah dan saya terkejut terima banyak komen negatif daripada rakyat tentang PH.”

“Menurut mereka, harga barangan telah meningkat sejak PH ambil alih. Barang jadi semakin mahal minggu demi minggu.

“Malah mereka minta saya tolong tetapi saya jawab, apa yang saya boleh buat sekarang. Saya harap saya boleh tolong mereka,” katanya.

Rakyat makin susah bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kata Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Januari, 2019.
Rakyat makin susah bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kata Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Januari, 2019.

Sejak BN kalah Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu, Najib lantang mengecam pentadbiran BN menerusi media sosial.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan 39 pertuduhan selepas hilang kuasa melibatkan jenayah korupsi, pengubahan wang haram dan pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas perdana menteri itu menambah yang kerajaan PH menipu rakyat selepas menang pilihan raya.

“Rakyat ditipu sejak hari pertama. Mereka gelar diri mereka Pakatan Harapan tetapi mereka sebenarnya Pakatan Hancing.

“Mereka kata jika Najib jatuh, ringgit akan naik, jika Pakatan menang, tak ada lagi tol, harga minyak akan turun, dan banyak lagi janji.

“Tetapi apa yang kita dapat sekarang. Tak ada apa kecuali penipuan. Mereka menipu kita dan tak buat apa-apa untuk tolong rakyat. Pentadbiran saya sebagai PM selama sembilan tahun lebih baik daripada mereka lapan bulan berkuasa,” katanya kepada hadirin.

Katanya lagi, BN akan terus bersuara demi faedah rakyat walaupun dipersalahkan atas semua kesilapan PH.

“Barisan Nasional akan terus memperjuangkan rakyat,” katanya sebelum menamatkan ucapan, hampir 200 penduduk hadir pada majlis itu.

Beliau menghabiskan masa hampir sejam bersama penduduk Kerinchi pada lawatan itu petang tadi.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.