KHABARNYA RAMAI MAHU NAJIB TURUN CAMERON HIGHLANDS

Di sebalik imejnya yang dipalit dengan dakwaan jenayah rasuah di mahkamah Najib Razak tetap mempertimbangkan untuk turun membantu BN berkempen mempertahankan kerusi Cameron Highlands.

Walaupun setakat ini belum ada mana-mana pihak mempelawanya berkempen di kawasan percutian tanah tinggi itu, Najib mendakwa, beliau difahamkan terdapat permohonan yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan yang mahu melihatnya hadir ke situ.

“Saya terbuka kalau ada permintaan daripada orang tempatan yang memerlukan saya bantu berkempen.

“Tapi saya dengar khabar ramai minta saya turun, jadi saya sedang mempertimbangkanlah permohonan mereka,” katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita tentang sama ada beliau akan turun membantu kempen di PRK Cameron Highlands selepas proses penamaan calon berakhir pagi tadi.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 150 penyokongnya dalam majlis perkongsian di Residensi Kerinchi KL Gateway di Bangsar South, Kuala Lumpur.

Najib ialah presiden pertama Umno yang pertama gagal mendapat mandat daripada majoriti pengundi untuk terus menjadi kerajaan.

Bercanggah dengan demokrasi

BN di bawah Najib kecundang kepada Pakatan Harapan (PH) semasa PRU ke-14 dilangsungkan pada 9 Mei tahun lalu.

Sesetengah pihak berpendapat beliau menjadi liabiliti kepada BN dan Umno. Justeru anak kepada perdana menteri kedua Malaysia itu jarang membuat kemunculan berprofil tinggi di beberapa PRK yang dilangsungkan selepas PRU lalu.

Tekanan dalaman juga menyaksikan timbalan Najib sebelum ini, Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘bercuti’ dan menyerahkan tugas presiden Umno kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan.

Mohamad (tiga dari kiri) bersama calon BN, Ramli Mohd Nor semasa penamaan calon hari ini

Untuk rekod Cameron Highlands terletak dalam kawasan Pahang walaupun kebanyakan laluan masuk adalah melalui Perak.

Najib sendiri berasal dari Pahang dan pernah menjadi menteri besar negeri itu dari 1982 hingga 1986.

Ditanya sama ada calon daripada komuniti Orang Asli akan memberikan kelebihan buat BN, Najib menjawab, memang begitulah yang diharapkannya.

Namun pada masa sama, beliau berharap tidak timbul ugutan yang seperti yang dilakukan oleh seorang senator.

“Ugutan seperti itu bertentangan dengan amalan demokrasi dan boleh diambil tindakan kerana menyalahi undang-undang pilihan raya,” katanya.

Terdahulu Najib dalam sesi perkongsiannya turut menyentuh isu yang sama ketika mengulas tentang skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Katanya, BR1M dituduh PH sebagai rasuah sedangkan bantuan itu dinikmati semua pihak yang layak tanpa ugutan dan tidak mengira parti politik.

“Penyokong PH pun dapat, kadang-kadang dia yang paling depan (mengambil bantuan).

“Kita tak ugut, macam di Cameron. Ugut kalau tak sokong (kerajaan) tak dapat elaun.

“BN tak pernah buat macam tu,” katanya.

Beliau dipercayai mengulas mengenai kenyataan senator Bob Manolan Mohamad dalam satu majlis dialog dengan tok-tok batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai semalam.

Bob Manolan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mendakwa kenyataannya disalah tafsir.

– M’kini

.