NAJIB TANYA: TELUR SIAPA TURUN?

Bekas perdana menteri Najib Razak terus giat membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana didakwanya gagal menangani kenaikan harga bahan mentah selepas lapan bulan memerintah.

Antara yang menjadi sasaran Najib ialah harga telur yang dikatakan turun, tetapi hakikatnya, kata beliau, mengalami kenaikan.

Hal itu kata Najib terdedah selepas beliau melawat Pasar Datuk Keramat Ahad lalu.

“Dia (kerajaan) kata telur turun 2 sen. (Harga) Telur turun ke telur siapa turun?” katanya disambut sorakan gamat penyokongnya.

Malah, Najib turut menempelak Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution yang mengucapkan ‘tahniah’ kepadanya kerana membantu memantau harga barang.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian dalam sesi bertemu orang ramai di Bangsar South, Kuala Lumpur petang tadi.

Kira-kira 150 orang penyokongnya hadir mendengar celoteh beliau.

Ada menteri menggelabah

Untuk rekod komen Najib mengenai harga barangan keperluan atau dapur bukanlah asing.

Selepas gagal mengemudi BN mendapatkan mandat sekali lagi menjadi kerajaan, Najib memang beliau kerap turun padang bertemu orang ramai, selain aktif di media sosial.

Semasa menjadi kerajaan pun beliau kerap bercakap mengenai harga barangan pengguna. Antara yang pernah menjadi perhatian ramai ialah mengenai penurunan harga kangkung.

Sebelum ini Saifuddin membuat kenyataan selepas Najib memuat naik gambar paparan harga telur di pasar Datuk Keramat dengan ciapan: “menteri kata harga telur turun, pekedai kata harga telur naik.”

Kata Najib, menteri terbabit “menggelabah” selepas beliau turun bertemu orang ramai dan melihat sendiri keadaan harga barangan pengguna.

“Bila menteri tengok tu, menggelabah dia. Dia kata tahniah datuk seri boleh bantu kami. Eh? Saya boleh bantu?

“Kalau saya bantu, saya balik (jadi) kerajaanlah!” katanya lagi.

Anggota parlimen Pekan itu juga menegaskan sebagai kerajaan PH mesti menyelesaikan masalah rakyat selepas mereka mendapat mandat.

– M’kini

.