MELAYU ISLAM SEDANG PARANOIA?

SEBAGAI Melayu Islam, sekali pun percaya pada perlunya tolak ansur dalam membina Malaysia Baharu, pastinya ada had bagi perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.

Harus diingat, sensitiviti bukan soal majoriti bersikap lunak terhadap minoriti, tetapi wajar berasaskan kepada batasan dan semangat Perlembagaan.

Orang Melayu terpukul teruk dengan kekalahan Umno dan runtuhnya Barisan Nasional (BN). Juga terasingnya PAS daripada Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14 lalu.

Sokongan 80% undi Melayu Islam kepada Umno dan PAS, kini hanya menjadikan dua parti totok Melayu dan Islam itu sebagai pembangkang di Parlimen.

Kejayaan PH membina kerajaan hasil gandingan 90% pengundi Cina dan 70% pengundi India serta menerima sokongan 20% pengundi muda Melayu, mengubah kerajaan selepas 61 tahun BN berkuasa.

Jatuhnya Umno bererti orang Melayu sedar, mereka bukan lagi suara dan kuasa yang menonjol dalam pentadbiran negara. Ini satu kejutan dan akhirnya membentuk paranoia.

Mulai 9 Mei 2018, orang Melayu Islam yang selama ini selesa di bawah Umno dan BN, benar-benar terasa tinggal sehelai sepinggang. Tanpa parti prominen dalam PH, Melayu Islam mulai berasa curiga.

Paranoia menjadikan Melayu Islam mudah melatah dan sentiasa agresif dan ofensif mengungkit klausa-klausa khusus dalam Perlembagaan sebagai cara melindungi diri.

Apabila kuasa Umno selaku tulang belakang kerajaan BN tumbang, Melayu Islam beranggapan dasar-dasar berasaskan Perlembagaan yang dulunya diterjemah secara BN, kini akan melalui fasa baharu.

Apabila PH berkuasa, 80% Melayu Islam penyokong Umno dan PAS sangat menggelabah. Majoritinya jadi sensitif menilai perubahan politik dan sentiasa berasa tidak selamat. Rasa gelabah inilah yang mencetuskan sikap mudah panik dan cepat melatah. Tambah buruk lagi, dalam tujuh bulan pertama ini, mereka gagal melihat agenda PH secara rasional.

Apa yang pasti, kumpulan ini melihat PH tidak mungkin berperanan melindungi mereka seperti peranan Umno dan BN.

Orang Melayu dalam kem Umno dan PAS juga melalui fasa belajar. Betapa mahal harga kuasa yang perlu dibayar akibat perpecahan. Walaupun, realiti yang lebih klasik bagi Umno ialah: Terpaksa menerima kekalahan PRU 14 sebagai hukuman rakyat apabila parti dicemari rasuah.

Selain pengajaran tambahan: Bahawa rakyat marahkan sikap Umno yang mendokong pemimpin bermasalah.

Itu hakikat yang secara jelas dipelajari Umno apabila Najib Razak dipaksa melepaskan jawatan Presiden dan Ahmad Zahid Hamidi didesak bercuti.

Melayu Islam belum belajar

Tujuh bulan selepas PH berkuasa, Melayu Islam masih terkial-kial untuk menerima hakikat bahawa keadaan sedang berubah.

Bagi konservatif Melayu Islam, secara politiknya, PH dilihat Kerajaan Pakatan Malaysia yang bukan lagi dikuasai Melayu Islam. Mulai 10 Mei 2018, keadaan sudah tidak sama lagi dengan enam dekad Umno mendominasi BN. Ini tragedi pedih bagi majoriti Melayu Islam.

Sekali pun Bersatu memiliki 16 Ahli Parlimen dan Amanah (11) dan dianggap dua parti kompenan PH yang berteraskan Melayu dan Islam, namun, secara lateral, kerajaan PH dibentuk dengan kekuatan PKR (50) dan DAP (42).

Dua parti ini dilihat konservatif Melayu Islam sebagai berorientasikan pelbagai kaum. Malah, dalam kes-kes tertentu dilihat lebih pro pembaharuan ke arah politik liberal.

Justeru tujuh bulan selepas PH berkuasa – luka kalah pilihan raya dan kebimbangan melihat hala tuju PH menjadikan konservatif Melayu hidup dalam paranoia.

Ini hakikat. Justeru, tidak hairan wujud gerakan pasca PRU14 apabila Melayu Islam mula memberikan reaksi agresif secara vokal dan fizikal. Malah, berdemonstrasi terhadap tindak-tanduk Kerajaan PH.

Apa saja perubahan yang dilihat menggugah kepentingan agama dan bangsa, ia segera meningkatkan suhu emosi dan mencetuskan kegelisahan mendadak.

Paranoia dan kegelisahan melampau memudahkan 80% Melayu Islam ini dibakar sentimennya. Meski pun Umno sebagai parti dominasi Melayu kini dilihat sangat melemah kerana perpecahan dalaman serta krisis defisit keyakinan Melayu, namun ia pilihan tunggal yang ada.

Umno walaupun sudah rebah sejak skandal kleptokrasi terdedah semakin meluas selepas PRU14, kekal dijadikan tempat Melayu Islam bergantung harap.

Paling tidak, dengan tersingkir Najib Razak dan berundurnya Ahmad Zahid Hamidi, Umno terlihat sedikit bersih. Ketika tiada pilihan, Melayu konservatif kekal terpaksa bersama Umno.

Manakala, konservatif Islam yang melabel PH sebagai berfaham liberal, terus mengharapkan PAS berperanan sebagai gajah perang.

Dalam banyak keadaan, orang Melayu yang marahkan Umno kerana merosakkan negara, terpaksa berpatah balik. Paranoia menjadikan taat setia kekal disitu. Begitu juga PAS – ia kekal jadi pilihan bagi menentang apa saja yang dilihat menggugah Islam.

Sentimen berbalik kepada Umno dan PAS ini jelas terpancar dalam isu menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketika Umno sudah hilang taring, dan PAS dilihat masih bertakuk lama, orang Melayu Islam tetap memilih menyertai agenda dua parti ini dalam menentang ICERD. Selepas kalah teruk pun, Umno dan PAS kekal popular di kalangan Melayu Islam yang sedang paranoia.

Kehadiran dianggarkan 150,000 Melayu Islam dalam demonstrasi ICERD pada 8 Disember lalu adalah bukti. Bahawa, Melayu Islam sangat ketakutan dan mudah dipergunakan. Dalam perubahan drastik negara, Melayu Islam mahu kekal di zon lama dengan menentang apa saja yang cuba mengubah status quo mereka. Sekotor mana pun Umno, kerana paranoia – parti itu kekal sebagai tempat bergantung harap.

PAS pula, melabur agenda parti itu dengan agresif apabila meniupkan api paranoia. Agenda membela Islam menjadikan peranan PAS relevan dalam gerakan anti ICERD. Umno dan PAS, berjaya meyakinkan paranoia Melayu Islam bahawa PH sedang menghakis keutuhan Melayu dan Islam.

Ini senjata berguna bagi mengekalkan sokongan Melayu Islam yang sedang ketakutan.

Sejak tujuh bulan selepas PH berkuasa, isu ekonomi dan pembaharuan politik belum banyak dicapai. Ia masih dalam proses mencari arah. Janji-janji Manifesto PRU14 hampir terhad potensinya untuk direalisasikan.

Isu kos sara hidup membabitkan harga minyak, pelupusan tol dan keupayaan pemilikan rumah untuk golongan muda dan B40 hampir mustahil direalisasikan.

Namun, secara umum ia bukan isu yang boleh mengheret Melayu Islam berdemonstrasi di jalanan. Ini kerana rakyat secara umum menyedari, realiti persekitaran ekonomi tidak mungkin menghasilkan perubahan drastik yang magis.

Keadaan ekonomi global yang meyoyo dan flip flop serta keterhadan tunai kerajaan, antara faktor yang dilihat munasabah dan reslistik membantutkan usaha PH menyegerakan manifesto.

Walaupun Najib terus membakar sentimen dengan menyerang isu-isu ekonomi dan dasar berkaitan kebajikan rakyat – responsnya hanya sekadar reaksi di media sosial. Isu ekonomi dan kos sara hidup tidak mapan untuk menyeret rakyat ke jalanan.

Justeru, sangat jelas – paranoia Melayu Islam ialah soal agama dan bangsa. Ini sentimen yang cepat meluap dan mampu menghimpunkan ratusan ribu orang di jalanan dalam protes yang keras dan subur.

Umno dan PAS tahu, mereka belum mati. Mereka kekal hidup kerana paranoia Melayu Islam sedang menyubur dalam fikiran rakyat. Cuma bezanya: Apakah PH menyedari ketakutan luar biasa yang sedang dialami Melayu Islam?

Sekiranya sedar, sudahkah ia ditangani dengan bijak dan berhemah?

– https://www.themalaysianinsight.com

.