CAMERON HIGHLANDS UJI KEKUATAN SEBENAR PAKATAN

PAKATAN Harapan akan berdepan laluan sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands daripada Barisan Nasional.

Ia pernah memenangi ratusan undi terhadap BN pada dua pilihan raya umum lalu daripada masyarakat bukan Melayu namun kali ini, peratusan keluar mengundi Cina dan India dijangka berkurangan.

Kerusi itu di Pahang mempunyai 32,008 pengundi dan akan dipertandingkan dengan 34.4% orang Melayu, 29.8% Cina, 14.8% India dan 20.9% Orang Asli.

Pada pilihan raya lepas, BN dan PAS menguasai 3,838 undi Felda masing-masing dengan 43% dan 42%. Jumlah undi Melayu sehingga 11,000. BN juga meraih lebih daripada 85% undi 6,200 Orang Asli.

Sementara itu, PH menguasai 14,000 undi bukan Melayu atau hampir 95%.

PH akan berharap untuk menggunakan naratif anti-rasuah di kalangan Orang Asli selepas kemenangan BN di Cameron Highlands pada PRU14 dibatalkan oleh mahkamah pilihan raya berikutan pembelian undi oleh calonnya C. Sivarraajh.

Tetapi PH akan diuji dalam segmen Orang Asli, kini BN telah meletakkan calon tempatan dari suku Semai. Ramli Mohd Nor bukan sekadar Orang Asli tetapi pesara polis berpangkat tinggi.

Masyarakat Orang Asli buat pertama kalinya, terpaksa memilih antara calon kerajaan atau salah seorang daripada mereka sendiri.

Gabungan pemerintah, yang selama ini mendapat sokongan kuat dari pengundi bukan Melayu, tidak memiliki jaminan ini di Cameron Highlands, kerana gabungan faktor masa pilihan raya dan perjuangan PH untuk memenuhi janji manifesto sebagai pemerintah persekutuan.

Pengurus penyelidik Institut Darul Ehsan Khairul Ariffin berkata, anggaran tarikh mengundi pada 26 Januari dan tempoh cuti sambutan Tahun Baru Cina (5 dan 6 Februari) terlalu rapat dan mungkin menghalang pengundi Cina daripada balik mengundi.

“Lebih 40% pengundi Cina di Cameron Highlands tinggal di luar kawasan dan mungkin tidak ramai akan balik mengundi.”

Beliau berata jumlah keluar mengundi masyarakat India pada PRU14 juga paling rendah iaitu 59% berbanding purata 82%.

Bentuk muka bumi, keadaan jalan raya serta jarak antara pusat mengundi menjadi salah satu cabaran buat calon pilihan raya kecil Cameron Highlands untuk turun padang berkempen.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2019
Bentuk muka bumi, keadaan jalan raya serta jarak antara pusat mengundi menjadi salah satu cabaran buat calon pilihan raya kecil Cameron Highlands untuk turun padang berkempen.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2019

“Bersama dengan undian blok PAS akan pergi kepada BN, ia tidak menampakkan kelebihan kepada Pakatan.”

Timbalan pengarah pendidikan politik DAP, Ong Kian Ming juga menyatakan untuk mendapatkan sokongan Cina dan India merupakan satu cabaran.

“Memandangkan PH tidak dapat memenuhi jangkaan tinggi komuniti selepas pasca-PRU14, kami menjangkakan sokongan PH di kalangan pengundi Cina akan berkurangan,” katanya, merujuk kepada ketidakupayaan pemerintah untuk menunaikan beberapa janji manifestonya.

Sekurang-kurangnya, PH mesti mengekalkan 70% sokongan Cina dan India, kata Ong, yang juga ahli Parlimen Bangi.

Satu lagi masalah rumit bagi kedua-dua pihak, kata Khairul, adalah jaraknya.

“Walaupun Cameron Highlands merupakan antara kerusi terkecil di Pahang, jarak antara Tanah Rata dan Jelai hampir 200 kilometer. Sebagai contoh, pusat pengundian Bertau mengambil masa empat jam perjalanan kerana keadaan jalan raya,” kata Khairul.

Jelai juga merupakan kerusi negeri yang disandang oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga pengerusi perhubungan Umno dan BN negeri. Pahang dan Perlis adalah dua negeri yang tinggal diterajui kerajaan BN.

Setelah hanya memperoleh 10% undi Melayu dan Orang Asli dalam PRU14, PH kini harus cuba meningkatkan sokongan daripada segmen ini kepada sekurang-kurangnya 30%, tambah Ong.

Oleh itu, PH adalah di tempat musuh, tidak seperti dalam empat pilihan raya kecil sejak PRU14 di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.

Cabaran sukar calon 

Empat calon untuk pilihan raya itu disahkan semalam selepas pemfailan pencalonan. Selain Ramli dari BN, PH akan diwakili oleh M. Manogaran dari DAP, yang bertanding untuk kali kedua bagi kerusi itu, dan dua calon bebas Sallehuddin Ab Talib dan Wong See Yee.

Walaupun berkeluasan hanya 712 km persegi sekaligus menjadikan Cameron Highlands sebagai salah satu daerah terkecil di Pahang, calon akan berdepan cabaran yang sukar untuk berkempen berikutan jarak di seluruh kawasan berbukit, dengan banyak perkampungan Orang Asli di pedalaman.

Terdapat 29 pusat mengundi dan pengundi dibahagikan kepada kawasan barat daya Tanah Rata, Ringlet dan Brinchang serta kawasan tenggara Jelai.

Selain Jelai yang merupakan kerusi DUN di bawah BN, Tanah Rata adalah satu-satunya kerusi negeri yang dipegang oleh Adun DAP Chiong Yoke Kong.

Dinamakan sempena nama ahli geologi Inggeris, William Cameron, kawasan pertanian sayuran terkenal itu juga merupakan salah satu tempat pelancongan tertua di negara ini.

Calon Pakatan Harapan M. Manogaran (dua, kiri) dan calon Barisan Nasional Ramli Mohd Nor (dua, kanan) pada hari penamaan calon yang diadakan pada Sabtu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2019
Calon Pakatan Harapan M. Manogaran (dua, kiri) dan calon Barisan Nasional Ramli Mohd Nor (dua, kanan) pada hari penamaan calon yang diadakan pada Sabtu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2019

Dengan peruntukan AS$3 juta pada masa itu, British menyiapkan jalan dari Tapah ke Tanah Rata pada tahun 1931. Kebanyakan laluan masih sama.

Selepas jalan dibuka pada tahun 1931, ekspatriat British dan penduduk tempatan mula bergerak ke lereng tanah tinggi itu. Mereka kemudian diikuti oleh penanam teh dan petani sayuran yang mendapati cuaca sejuk sesuai untuk tanaman mereka.

Sejak itu, tiga laluan lain telah dibuka. Dari utara, anda boleh ke sini melalui Simpang Pulai manakala pelancong dari utara boleh menggunakan laluan Gua Musang. Dan dari Pahang, Cameron Highlands boleh dicapai melalui Bentong.

Tetapi ketika kawasan itu telah berkembang dengan pesat sebagai lokasi pertanian dan pelancongan pada awal abad ini, ia tidak menjadi kerusi parlimen sehingga pada tahun 2004, selepas persempadanan semula dibuat pada tahun sebelumnya.

Cameron Highlands dimenangi oleh calon MIC K Devamany pada 2004 dan 2008. Ia kemudiannya dimenangi presiden parti G Palanievel pada tahun 2013 sebelum dia kalah dalam pertikaian kepimpinan dalaman MIC dan kemudian dipecat.

Pengganti beliau, C Sivarraajh memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru dengan Manogaran (DAP), Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS), B Suresh Kumar (PSM) dan Mohd Tahir Kassim (Berjasa) pada PRU14.

Dalam pilihan raya lepas, Sivarrajh menang dengan margin kecil sebanyak 597 undi (2.45%) setelah memenangi 10,307 undi (42.3%). Tetapi ia tidak lama selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangannya kerana merasuah pengundi November lalu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.