MB JOHOR CEROBOH, MESYUARAT MALAYSIA-SINGAPURA TANGGUH

SINGAPURA menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) selepas Menteri Besar Johor Osman Sapian menceroboh kawasan perairan didakwa milik republik itu, Rabu lalu.

Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan berkata, tindakan Osman menceroboh kawasan perairan Singapura dekat Tuas pada 9 Januari lalu menjadikan mesyuarat kali ke-14 itu “tidak dapat diteruskan.”

“Oleh itu, Singapura mencadang untuk menangguhkan mesyuarat JMCIM, dan Malaysia bersetuju,” kata kenyataan media itu.

Mesyuarat itu dijadual diadakan pada Isnin ini.

Kelmarin, sebuah portal berita di Singapura mendakwa lima kapal Malaysia masuk ke perairan republik itu dekat Tuas termasuk rombongan Osman yang melawat aset Jabatan Laut, MV Pedoman.

Osman bagaimanapun menafikan dakwaanbeliau menceroboh perairan Singapura.

Beliau sebelum itu memuat naik kenyataan di Facebook mengenai lawatannya ke atas anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di kapal MV Pedoman, di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura.

Laporan di Singapura itu menyiarkan juga beberapa gambar ihsan pasukan polis Singapura yang menunjukkan kapal dinaiki Osman yang diambil dari jarak jauh, sekitar pukul 6 petang Rabu lepas.

Laporan itu kesal insiden berlaku sehari selepas Malaysia dan Singapura setuju untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menangani pertikaian maritim.

Menteri Luar Malaysia dan Singapura pada Selasa mengadakan rundingan isu pertikaian ruang udara dan had pelabuhan maritim.

Hasil rundingan itu Malaysia setuju menggantung pelaksanaan kawasan larangan kekal ruang udara di Pasir Gudang manakala Singapura menggantung pelaksanaan sistem pendaratan instrumen di Lapangan Terbang Seletar, kedua-duanya bagi tempoh sebulan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.