SAH PERTEMBUNGAN 4 PENJURU DI CAMERON HIGHLANDS

CAMERON HIGHLANDS: Pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang dijadualkan pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan 2 calon Bebas.

PH meletakkan bekas calon kerusi Cameron Highlands dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas daripada DAP, M Manogaran, sementara BN mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor dan 2 calon Bebas, iaitu Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.

Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis membuat pengumuman itu pada pukul 10.40 pagi di pusat penamaan calon SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini, hari ini, selepas proses penamaan calon tamat.

Sementara itu, Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas yang mengumumkan akan turut bertanding sebelum ini membuat kejutan apabila beliau menarik diri pada saat akhir, sekali gus mengumumkan sokongan kepada calon PH dan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Ishak menarik perhatian penyokong yang hadir apabila tersasul menyebut nama Ramli sebagai calon PH.

“Saya minta maaf, Ramli dari Barisan Nasional,” katanya, membetulkan keadaan.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam pilihan raya umum ke-14 Mei 2018, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada 4 Jun, M Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum pada 9 Mei yang dimenangi Sivarraajh terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 28 Dis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan mahkamah itu sekali gus mengisytiharkan Sivarraajh yang merupakan naib presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK yang bakal diadakan.

SPR juga menetapkan 13 Jan sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal (22 Jan), semakan peti undi (25 Jan), manakala hari pengundian pada 26 Jan.

Pada pilihan raya umum lepas, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan 5 penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa 81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM 680 undi).

PRK kali ini merupakan pilihan raya kecil kelima selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas, melibatkan 3 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor dan satu kerusi Parlimen di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tempoh berkempen bagi PRK kali ini adalah selama 14 hari dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 22 Januari.

Sebanyak 32,009 pengundi berdaftar, termasuk 247 pemilih awal dan 12 pengundi tidak hadir, layak mengundi dalam PRK kali ini. Terdapat juga 385 pengundi kurang upaya di sini.

Untuk rekod kerusi Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC sejak 2004.

– FMT

.