‘UGUTAN’ SENATOR PAKATAN KEPADA ORANG ASLI BUKAN PENDIRIAN KERAJAAN

MENTERI Lim Guan Eng menjarakkan Putrajaya dengan isu ugutan yang dikeluarkan oleh seorang senator Pakatan Harapan (PH) yang memberitahu ketua kampung Orang Asli di Cameron Highlands bahawa mereka bakal hilang jawatan dan gaji jika menyokong pembangkang.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, berkata kenyataan Bob Manolan tidak konsisten dengan pendirian kerajaan.

Beliau berkata gaji dan imbuhan tidak boleh digunakan sebagai pengaruh politik dalam pilihan raya.

“Gaji bukanlah sesuatu yang sepatutnya dibuat main oleh sesiapa kerana ia adalah hasil yang digunakan oleh penjawat awam untuk memberi makan kepada keluarga mereka.

“Dalam hal ini, komitmen kerajaan persekutuan tidak perlu dipersoalkan.

“Satu kenyataan tidak mewakili kerajaan,” kata menteri kewangan di pusat penamaan calon Cameron Highlands hari ini.

Beliau menambah tiada ugutan, paksaan atau intimidasi digunakan terhadap pengundi.

Manolan, seorang senator PKR, dilaporkan berkata semasa dialog dengan Tok Batin Orang Asli di kawasan itu semalam yang mereka berisiko hilang jawatan dan gaji mereka, yang dibayar oleh kerajaan persekutuan, jika menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Namun, senator itu menafikannya dengan mengatakan beliau hanya memberitahu ketua kampung yang juga ketua bahagian Umno agar memilih satu jawatan sahaja dan melepaskan jawatan yang lain, kerana memegang kedua-duanya adalah satu tindakan tidak konsisten.

Antara sebahagian penyokong Pakatan Harapan semasa proses penamaan calon hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.
Antara sebahagian penyokong Pakatan Harapan semasa proses penamaan calon hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

Lim berkata penjawat awam tidak boleh melanggar Perintah Am semasa menyokong atau menjalankan aktiviti politik.

“Tetapi selagi mereka tidak melanggar Perintah Am, gaji mereka tidak boleh dipersoalkan,” katanya.

Lim berkata kerajaan bertugas untuk membayar gaji, tanpa menghiraukan perbezaan politik.

Beliau berkata walaupun kerajaan Kelantan yang diketuai oleh PAS mengkritiknya, Putrajaya masih menyediakan pembiayaan untuk memastikan gaji pegawai kerajaan negeri dibayar.

“Apabila Kelantan tidak mampu membayar gaji berjumlah RM32.5 juta pada tahun lepas, kerajaan meluluskan pembayaran kepada mereka,” kata Lim.

Walaupun Manolan menafikan membuat ancaman, Malaysiakini yang pertama kali melaporkan kenyataannya memuat naik rakaman audio ucapan itu yang didengari berkata “Tak support, kita buang”, serta “Mana-mana Tok Batin yang tidak sokong kerajaan, kita tidak akan bayar gaji mereka”.

Kerusi Cameron Highlands dikosongkan selepas kemenangan pemimpin MIC, C Sivarraajh pada Mei lalu dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya pada November. Sivarraajh didapati merasuah pengundi untuk memenangi pilihan raya.

Kempen akan berlangsung selama 14 hari sehingga pengundian pada 26 Januari.

– https://www.themalaysianinsight.com

.