LANGSUNG: HARI PENAMAAN CALON PRK CAMERON HIGHLANDS BERMULA

HARI penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dibuka hari ini, bagi pilihan raya kecil kelima dalam tempoh tujuh bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu.

Hari mengundi bagi kerusi Parlimen di Pahang itu akan diadakan pada 26 Januari selepas tempoh kempen 14 hari.

Kerusi Parlimen yang mula diwujudkan pada 2003 itu dimenangi Barisan Nasional (BN) sejak PRU pada 2004, menerusi MIC, parti kaum India.

Kemenangan BN pada PRU14 dibatalkan pada November selepas mahkamah khas pilihan raya mendapati calonnya, Naib Presiden MIC C. Sivarraajh, merasuah pengundi menjelang hari mengundi.

MIC tidak bertanding pada PRK kali ini dan BN meletakkan bekas pegawai polis, Ramli Mohd Noor sebagai calonnya.

Ini kali pertama seorang calon daripada kalangan masyarakat Orang Asli akan bertanding di kerusi itu. Kira-kira 22% daripada pengundi di Cameron Highlands terdiri daripada Orang Asli.

Pesaing utama Ramli ialah M. Manogaran daripada DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH), yang turut bertanding di kerusi itu pada PRU14, tetapi tewas kepada Sivarraajh dengan majoriti hanya 597 undi.

Manogaran juga yang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Sivarraajh yang memberi rasuah kepada pengundi. Ini cubaan kedua ahli DAP itu untuk mendapatkan kerusi itu selepas cubaan pertama pada 2013.

Pemimpin PH dan kira-kira 300 penyokong berarak ke pusat penamaan calon PRK Cameron Highland di SMK Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.
Pemimpin PH dan kira-kira 300 penyokong berarak ke pusat penamaan calon PRK Cameron Highland di SMK Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

Presiden MyPPP M. Kayveas turut dijangka menyertai pertandingan itu.

Setakat ini belum tahu siapa lagi calon yang akan turut serta, memandangkan Cameron Highlands pada dua PRU sebelum ini menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Sejak PRU14, PH menang semua empat PRK – Sg Kandis, Sri Setia, Balakong dan Port Dickson. – 12 Januari, 2019.

The Malaysian Insight akan membawakan liputan secara langsung dari pusat penamaan calon di SMK Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata:

9.35am: Presiden MyPPP M. Kayveas tiba di pusat penamaan calon bersama kira-kira 50 penyokong. Mereka mengibarkan bendera parti berwarna putih dan bergambar sebelum masuk ke dewan.

9.21am: Setakat ini, empat calon tiba di pusat untuk memfailkan kertas pencalonan. Selain calon PH, M. Manogaran dan BN Ramli Mohd Noor, dua lagi ialah calon bebas iaitu Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

9.12am: Pencalonan dibuka jam 9 pagi. Calon PH M. Manogaran kelihatan masuk ke pusat itu 9.12 pagi, diikuti calon BN Ramli Mohd Noor. Presiden MyPPP M. Kayveas belum kelihatan walaupun sebelum ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas.

Calon PH M. Manogaran menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai SPR di pusat penamaan calon di SMK Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2019.
Calon PH M. Manogaran menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai SPR di pusat penamaan calon di SMK Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2019.

9.00am: Tiga calon bebas dijangka menyertai PRK Cameron Highlands dan antaranya ialah Presiden MyPPP M. Kayveas. Tiga kerusi dengan penanda “Bebas” kelihatan di pusat penamaan calon.

8.50am: Calon BN Ramli Mohd Noor, pemangku presiden Umno Mohamad Hassan dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tiba di pusat penamaan calon.

8.45am: Pemimpin PAS Iskandar Samad, setiausaha agung general Takiyuddin Hassan tiba di pusat penamaan calon.

8.38am: Pemimpin PH dan kira-kira 300 penyokong berarak ke pusat penamaan calon.

8.35am: BN turut mengedarkan lencana, bendera dan kemeja T.

8.20am: Calon PH M. Manogaran tiba ditemani Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Lebih 200 penyokong BN berkumpul di luar pusat penamaan calon.

– https://www.themalaysianinsight.com

.