ISTANA PAHANG UMUM KEPUTUSAN MESYUARAT ESOK

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 3 jam bermesyuarat, Istana Pahang akan mengadakan satu sidang media di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang esok.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak mengumumkan perkara itu tetapi enggan mendedahkan butiran mesyuarat khas diraja di Hotel Pullman hari ini.

“Mengenai apa-apa keputusan hari ini kita akan umumkan esok,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bermesyuarat bersama ahli kerabat, para penasihat termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Najib adalah seorang seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang, dan membawa gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar.

Mesyuarat berlangsung ketika rakyat berspekulasi mengenai pelantikan Agong ke-16. Ketua negara baharu akan dipilih pada 24 Januari ini, selepas Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletak jawatan pada 6 Januari lepas.

Tengku Abdullah enggan memberikan apa-apa komen kepada pemberita.

“Terima kasih semua, tak ada komen,” katanya.

– FMT

.