LELAKI BUTA GUNA ANJING PEMANDU MAHU JUMPA WAN AZIZAH

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menggunakan anjing pemandu (guide dog) berharap dapat bertemu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas usaha berdialog dengan kerajaan terdahulu bagi mendapatkan hak sama rata terhadap orang kelainan upaya (OKU) menemui kegagalan.

Stevens Chan, 56, yang hilang penglihatan sejak 11 tahun lalu akibat glaukoma merupakan satu-satunya individu di negara ini yang menggunakan anjing dilatih khas bagi membantunya menjalani kehidupan seharian di ibu kota.

“Saya buat rayuan, e-mail dan hubungi pihak kementerian dari kerajaan yang lepas tetapi malangnya tidak ada satu pun yang dibalas. Kemudian, hanya ada satu agensi kerajaan sahaja yang berjumpa dengan saya iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya sendiri hairan mengapa Jakim bertemu dengan saya dan jabatan itu memaklumkan mereka mengetahui mengenai penggunaan anjing dalam membantu kehidupan seharian orang buta. Saya tidak mahu lawan kerajaan, saya hanya hendak bincang dan tolong orang buta sahaja.

“Kemudian, ada Kementerian Pengangkutan yang membalas email saya ketika itu dan menyatakan akan aturkan seorang pegawai bertemu dengan menteri pada 2013 tetapi sehingga pilihan raya umum ke-14, tidak ada berita langsung,” katanya kepada FMT sewaktu ditemui di Dialogue In The Dark.

Stevens berkata, pihaknya turut membuat petisyen sejak sebulan lalu bagi mendapatkan sokongan rakyat Malaysia dan ketika ini sudah mengumpul lebih 50,000 tandatangan yang bersetuju dengan ideanya untuk meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

“Ia bagi membenarkan anjing pemandu ini bersama-sama orang cacat penglihatan yang juga pemilik mereka diberikan akses untuk ke mana-mana sahaja di dalam negara. Jika ia diterima, ia merupakan hari bersejarah kami.

“Pada awal 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) saya tidak mahu ganggu, tetapi selepas 100 hari inilah masanya untuk saya usaha untuk berdialog dengan pihak kerajaan. Saya hendak suarakan mengenai hak sama rata kepada orang buta.

“Saya sasarkan 100,000 rakyat Malaysia tandatangan. Tidak ada ertinya dengan jumlah 100,000 itu, cumanya ia sebagai bukti rakyat Malaysia sokong. Jika saya seorang sahaja yang perlukan anjing pemandu, maka tidak perlu,” katanya.

Tambahnya, bagi menjayakan usaha ini, ia turut melibatkan beberapa kementerian lain selain Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diketuai Wan Azizah. Antara kementerian lain adalah Kementerian Pendidikan, Kesihatan dan Pengangkutan.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjaga kebajikan OKU, Kementerian Pengangkutan pula menjaga bahagian pengangkutan awam dalam negara.

“Manakala, Kementerian Pendidikan pula perlu mendidik mengenai kesedaran penggunaan anjing pemandu dan Kementerian Kesihatan menjaga kesihatan membabitkan anjing ini,” katanya.

Halangan guna anjing pemandu

Stevens menjelaskan, masih terdapat beberapa halangan dan kekangan untuknya menggunakan anjing pemandu miliknya yang diberi nama Lashawn dalam menjalani kehidupan seharian, khususnya ketika memasuki pusat membeli belah dan menaiki pengangkutan awam, seperti bas dan LRT.

Katanya, rakyat Malaysia sehingga kini masih tidak memahami konsep penggunaan anjing sebagai pembantu orang cacat penglihatan, sebaliknya lebih mudah memahami kegunaan anjing sebagai haiwan peliharaan dan membantu dalam misi menyelamat.

“Anjing bimbingan ini tidak sama kerana tugasnya adalah untuk membawa orang cacat ke tempat yang mereka hendak pergi. Di Malaysia tidak ada lagi undang-undang khas untuk anjing pemandu. Setiap anjing pemandu ini mempunyai lesen sendiri dan mereka ada pakaian khas sewaktu bertugas.

“Jika saya mahu menaiki bas dan membawa Lashawn, pasti pemandu bas berkenaan tidak benarkan. Tetapi sekiranya saya berpakaian seperti polis, bercermin mata hitam dan membawa anjing ke dalam bas pastinya pemandu bas berkenaan tidak menghalang saya dari menjalankan tugas,” katanya.

Stevens Chan menunjukkan sijil Lashawn tersenarai dalam Malaysia Book of Record sebagai satu-satunya anjing dalam negara yang sebagai anjing pemandu.

Pada April tahun lalu, Lashawn tersenarai dalam Malaysia Book of Record sebagai satu-satunya anjing dalam negara yang sepenuhnya berkhidmat untuk membantu orang cacat penglihatan.

Stevens berkata, terdapat banyak pihak yang tidak bersetuju mengenai penggunaan anjing dalam kehidupan seharian memandangkan rakyat di Malaysia sering membangkitkan penggunaan haiwan berkenaan dengan larangan ditetapkan dalam Islam.

“Tetapi saya hendak jelaskan ia bukan kaitkan agama, cumanya orang kita yang suka bawa. Saya hendak katakan, bukan sahaja orang Melayu Islam tidak sukakan anjing, ada juga yang bukan Islam tidak suka. Tetapi ini bukan anjing biasa, ini anjing servis untuk orang cacat,” katanya.

Kad pengesahan yang menandakan Lashawn adalah milik Stevens Chan dan berperanan membantu lelaki itu.

Sebelum ini, bekas Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menjelaskan tidak ada peraturan dalam agama Islam melarang menggunakan anjing pemandu kepada orang cacat penglihatan.

“Tidak ada isu mengenai menggunakan perkhidmatan anjing untuk pelbagai tujuan seperti berburu, keselamatan dan anjing pemandu,” kata Juanda.

– FMT

.