UGUT TOK BATIN: PEMUDA UMNO PAHANG BUAT LAPORAN POLIS

PETALING JAYA: Pemuda Umno Pahang membuat laporan polis terhadap seorang senator berhubung dakwaan mengugut untuk memberhentikan lantikan Tok Batin, ketua masyarakat Orang Asli jika tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) 29 akan datang.

Laporan polis itu dibuat pada jam 6.30 petang di Balai Polis Tanah Rata terhadap Bob Monalan Mohamad.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata pihaknya kecewa dengan sikap segelintir ahli politik terutama ahli Parlimen dari parti kerajaan yang disifatkan tergamak melakukan ugutan kepada pemimpin masyarakat setempat.

“Pengundi PRK Cameron Highlands bebas memilih calon yang layak untuk memimpin masyarakat di situ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Monalan memberi amaran kepada Tok Batin di kawasan Cameron Highlands bahawa mereka mungkin kehilangan gaji dan jawatan sekiranya tidak mengundi calon PH pada PRK 26 Januari ini.

Farid berkata, Pemuda Umno Malaysia dan negeri tidak akan berdiam diri membiarkan rakyat terus ditekan dan ditindas oleh rejim yang menolak demokrasi.

Beliau turut memaklumkan, polis akan membuka kertas siasatan selepas laporan polis itu dibuat petang tadi. Kertas siasatan tersebut adalah berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana mengancam dan menjejaskan pelaksanaan sistem demokrasi berparlimen.

“..dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun di bawah kanun keseksaan,” katanya.

– FMT

.