RAKAMAN AUDIO DEDAH SENATOR PAKATAN UGUT TOK BATIN

SATU rakaman audio mendedahkan kandungan ucapan Senator Pakatan Harapan Bob Manolan yang memberi pilihan kepada ketua kampung Orang Asli (Tok Batin) di Cameron Highlands agar menyokong kerajaan atau mereka kehilangan jawatan dan gaji..

Portal Malaysiakini menyiarkan rakaman suara ucapan Manolan di Pos Betau pada awal hari ini selepas ahli politik PKR itu menafikan dakwaan ugutan sedemikian.

Dalam rakaman itu, Manolan tidak secara spesifik menyebut perkataan ‘undi’ atau pilihan raya kecil Cameron Highlands, tetapi bercakap tentang menyokong kerajaan persekutuan.

“Batin dan jugak pengerusi MPKK adalah dibayar oleh kerajaan pusat. Iaitu gaji batin ada yang RM900, ada yang RM1,200 ada yang RM1,000. Bergantung kepada jumlah penduduk, bergantung kepada keluasan kampung.

“Jadi (tok) batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan.

“Tak sokong, kita buang,” kata Manolan seperti yang dirakamkan.

Selain itu, rakaman tersebut mengesahkan bahawa Manolan ada bercakap tentang ugutan tidak membayar gaji Tok Batin jika mereka tidak menyokong kerajaan.

“Mana batin-batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul! Jangan bayar gaji dia.

“Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia?

“Kita mahu pemimpin masyarakat orang asli, pengerusi MPKK mesti menyokong agenda rakyat, eh, agenda kerajaan.

“Kalau mereka tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan sekarang ini, bagaimana kita nak lantik dia jadi pemimpin masyarakat kampung?”

Selepas laporan mengenai ucapannya itu disiarkan, Manolan mengeluarkan kenyataan untuk menafikan dakwaan beliau mengugut Tok Batin di kawasan itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.