DAKWAAN GAGAL BUKA KES KEMATIAN TEOH: RAMKARPAL CUAI, KATA MUHYIDDIN

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang menuduhnya gagal mengarahkan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun untuk membuka semula siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock.

“Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, beliau sepatutnya lebih cermat dalam membuat sebarang kenyataan terutamanya yang melibatkan anggota pentadbiran kerajaan.

“Saya berasa amat kesal dengan kenyataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari.

Menteri dalam negeri itu seterusnya menjelaskan pada mesyuarat pasca kabinet Kementerian Dalam Negeri pada 27 Jun lalu, beliau telah memaklumkan bahawa kabinet telah memutuskan supaya kes kematian Teoh dibuka semula dan mengarahkan Fuzi supaya bertindak segera.

“Susulan daripada arahan saya dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 17 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang diketuai oleh DCP K Manoharan untuk menyiasat semula kes ini.

“Pasukan Petugas Khas ini telah menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut pada 18 Oktober tahun lalu.

“Kenyataan saya bahawa pihak polis sedang menunggu arahan daripada peguam negara seperti yang dilaporkan oleh media pada 25 Oktober tahun lalu adalah merujuk kepada arahan lanjut daripada peguam negara berhubung kertas siasatan yang telah diserahkan oleh Pasukan Petugas Khas.

“Peguam Negara telah memberikan arahan tertentu kepada Pasukan Petugas Khas pada 17 Disember 2018 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

– M’kini

.