‘SAYA DAN BAGINDA SETUJU TERUS TERANG, TAK SEMBUNYI-SEMBUNYI’

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan dirinya bersetuju untuk bercakap terus terang antara satu sama lain.

“Saya boleh berkomunikasi dengan dia. Kita bersetuju supaya kita frank, cakap secara terus terang, tak ada sembunyi-sembunyi.

“Dia bagi dia punya pandangan, saya beri saya punya pandangan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungannya yang tegang dengan Istana Johor sebelum ini.

Terdahulu, Mahathir mengadap Sultan Johor di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Selepas pertemuan itu, Sultan Johor mencemar duli dengan menghantar Mahathir Mohamad ke lapangan terbang antarabangsa Senai.

Baginda bahkan memandu sendiri kereta Proton Saga biru dengan nombor pendaftaran Proton 1 keluaran pertama yang dinaiki Mahathir.

Ditanya tentang hal yang dibincangkan dengan Sultan Ibrahim, Mahathir berkata ia berkenaan “masalah” yang dihadapi negara.

“Saya cerita tentang pandangan rakyat terhadap Tuanku dan dia terima dengan baik. Dan kita setuju pada masa depan tiada masalah untuk saya hubungi Tuanku,” katanya.

Berhubung sama ada perbincangan menyentuh soal pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baru, Mahathir berkata: “Itu soal raja-raja, tak ada kena-mengena dengan saya.”

Beliau memaklumkan kali terakhir bertemu Sultan Ibrahim adalah kira-kira 20 tahun lalu, selepas berundur daripada jawatan perdana menteri buat pertama kali.

Pertemuan mereka menimbulkan spekulasi ia mungkin berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Agong susulan peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V minggu lalu.

Bagaimanapun ia dinafikan seorang pegawai Pejabat Perdana Menteri yang memberitahu Malaysiakini semalam bahawa Sultan Ibrahim telah meminta pertemuan diadakan dengan Mahathir beberapa minggu lalu.

Menurut senarai giliran, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di kedudukan paling atas disusuli dengan Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun Sultan Ahmad Shah kini gerig dan ia menimbulkan spekulasi bahawa Majlis Raja-raja, yang dijadual bermesyuarat pada 24 Jan ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong, akan memilih Sultan Johor.

– M’kini

.