‘SAYA HADIAHKAN PROTON SAGA PADA BAPA BAGINDA, TAK ROSAK LEPAS 34 TAHUN’

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengimbas kembali saat beliau menghadiahkan Proton Saga generasi pertama kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, lebih tiga dekad lalu.

Beliau memberitahu hal itu kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dengan menaiki kereta itu yang dipandu anakanda Sultan Iskandar iaitu Sultan Johor Sultan Ibrahim, petang ini.

Ditanya tentang perasaannya, Mahathir berkata: “Sangat bagus (untuk) kereta berusia 34 tahun… Dijaga dengan baik. Ia kereta manual…steering sangat bagus. Tidak rosak.”

“Saya fikir ini endorsement yang baik untuk Proton. Masih berfungsi (dan) sudah dipandu sejauh 32,000 km. Dulu harganya RM17,000, sebab itu saya boleh berikannya sebagai hadiah,” katanya lagi.

Mahathir yang mengilhamkan idea kereta nasional itu menghadiahkan kereta Proton Saga berwarna biru dengan nombor pendaftaran ‘Proton 1’ kepada Sultan Iskandar pada 1985.

Ketika itu Sultan Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu Mahathir mengadap Sultan Ibrahim selama sejam di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Menurutnya, kedua-duanya bersetuju untuk berterus-terang antara satu sama lain.

“Saya boleh berkomunikasi dengan dia. Kita bersetuju supaya kita frank, cakap secara terus terang, tak ada sembunyi-sembunyi. Dia beri pandangannya, saya beri pandangan saya,” katanya lagi.

– M’kini

.