JANGAN TAKUT AKTA LINDUNGI RAJA JIKA TAK SALAH, KATA MENTERI

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu bimbang atau takut dengan perlaksanaan undang-undang yang ada di negara ini, kata Datuk Liew Vui Keong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata konsep kedaulatan undang-undang yang diguna pakai akan melindungi mereka yang tidak bersalah, melainkan didapati bersalah atas pertuduhan melalui proses mahkamah.

“Konsep kedaulatan undang-undang ini adalah terpakai kepada semua tanpa mengira kedudukan pangkat dan jawatan.

“Peruntukan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah adalah diguna pakai, tanpa pengecualian termasuk mereka yang didakwa dalam mahkamah negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, apa yang dilakukan seiring dengan pentadbiran negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Undang-undang sedia ada sudah jelas dan konsep seperti dinyatakan di atas (demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan) juga terpakai kepada orang yang kena tuduh.

“Ini bukan bertujuan untuk menggubal sesuatu untuk memberi atau menambah kekebalan institusi diraja semata-mata, sebaliknya menjelaskan lagi perkara yang terkandung dalam undang-undang sedia ada yang berkaitan agar perkara sebegini (menghina institusi diraja) dapat diambil ikhtibar pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Liew berkata, Kabinet mungkin memperkenalkan undang-undang lebih ketat untuk melindungi raja daripada kritikan, susulan penahanan beberapa individu yang didakwa membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap sultan.

Langkah itu menyusul selepas Sultan Muhammad V membuat keputusan melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Ahad lalu.

Polis turut menahan 3 individu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, susulan laporan yang diterima berhubung komen mereka di media sosial.

– FMT

.