GUAN ENG PERSOAL KENGGANAN WEE SIASAT DUIT DIBERI BN

PRESIDEN MCA, Wee Ka Siong bertanggungjawab memastikan sama ada RM16.5 juta yang diberikan oleh perdana menteri Najib Razak ketika itu kepada parti untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berasal daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Lim Guan Eng.

Menteri kewangan menyatakan sehingga ini Wee tidak menyatakan pendirian MCA mengenai isu itu dan tidak mahu menyiasat atau mengambil tindakan memulangkan wang itu, jika ia daripada 1MDB.

“Beliau sebaliknya mengkritik saya kerana tidak memahami prinsip perundangan … bahawa saya tidak faham undang-undang dan harus memberi tumpuan kepada pentadbiran.

“Wee pernah menjadi menteri tetapi tidak tahu peranan seorang menteri kewangan,” kata Lim semasa sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Perang mulut antara kedua-duanya berlangsung sejak beberapa hari susulan pendedahan Wee beliau tidak mengetahui pembiayaan pilihan raya parti kerana ia tugas penyandangnya, Liow Tiong Lai untuk mengumpul dana.

Wee, yang mengambil alih sebagai presiden MCA pada November lalu, mengatakan parti itu tidak menerima sebarang wang 1MDB sejak beliau menjadi timbalan presiden MCA pada 21 Disember 2013.

“Sebelum itu, saya tidak mengetahui maklumat tersebut. Hanya presiden MCA (Chua) ketika itu yang boleh memberi jawapan,” katanya.

Bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek dilaporkan berkata baru-baru ini Najib memberi RM16.8 juta kepada MCA untuk PRU13 tetapi beliau tidak menyedari dari mana datangnya.

Susulan itu, Lim mencabar Wee memeriksa sumber dana parti dan mengembalikan wang itu jika ia daripada 1MDB.

Lim hari ini menggesa Wee sekali lagi untuk menyemak sumber pendanaan parti itu.

“Ia adalah tanggungjawab anda. Bagaimana anda boleh menanganinya begitu?

“Jangan berpura-pura, jangan bohong. Sekiranya wang itu daripada 1MDB, maka pulangkan semula wang itu,” katanya.

Lim menambah bahawa sebagai warganegara, setiap orang harus mematuhi undang-undang dan memastikan kerajaan bebas daripada rasuah.

“Kami mahu memastikan mereka yang merompak rakyat mesti mengembalikan wang itu kepada kerajaan. Sebagai menteri, saya pastinya tidak terlibat dalam siasatan.

“Kami serahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.